WILAYAH - TIMUR > BERITA

Kelantan Jangka Bentang Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Tahun Depan

24/11/2024 11:48 AM

KOTA BHARU, 24 Nov (Bernama) -- Kerajaan Kelantan dijangka membentangkan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun 2025.

Timbalan Menteri Besar Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata pembentangan itu akan dilakukan selepas 12 ahli jawatankuasa khas iaitu Jawatankuasa Induk Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang dilantik membincangkan mengenai perkara tersebut.

Beliau berkata antara skop dan tanggungjawab jawatankuasa ini adalah membuat kajian berkenaan kesan pembatalan 16 peruntukan terhadap peruntukan sedia ada dan membentuk jawatankuasa teknikal bagi pelaksanaan kajian.

"Selain itu, jawatankuaasa ini juga akan mencadangkan draf gubalan 16 peruntukan terbatal termasuk mana-mana peruntukan yang berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Zuraidin Abdullah (PAS-Chetok) yang bertanya mengenai status jawatankuasa yang mengkaji penggubalan semula 16 seksyen yang telah dibatalkan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 pada persidangan DUN di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli berkata seramai 12 ahli jawatankuasa khas terlibat membincangkan isu tersebut yang dipengerusikan oleh beliau sendiri dan beberapa ahli perundangan dan kerajaan negeri termasuk Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

"Jawatankuasa ini telah bersidang buat kali pertama pada pertengahan tahun lepas dan telah bersetuju menubuhkan jawatankuasa teknikal yang terdiri daripada wakil-wakil jabatan kerajaan negeri, Jabatan Kehakiman dan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri termasuk beberapa pengamal undang-undang serta ahli akademik bagi melaksanakan kajian seterusnya menyediakan draf gubalan 16 peruntukan tersebut," katanya.

Pada 6 Mac lepas, DUN Kelantan yang bersidang meluluskan usul untuk menggubal semula 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019 yang diisytihar batal dan tidak sah oleh Mahkamah Persekutuan pada 9 Feb lepas.

Sebelum ini, panel sembilan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 membuat keputusan membatalkan enakmen terbabit selepas membenarkan petisyen seorang peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan