WILAYAH - TENGAH > BERITA

Pelaburan RM250.6 Juta Daripada Institusi Tempatan Pacu Peningkatan Bursa Malaysia

25/11/2024 01:27 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Institusi tempatan merupakan pemacu utama Bursa Malaysia untuk minggu kelima berturut-turut dengan mencatat aliran masuk bersih berjumlah RM250.6 juta minggu lepas, meningkat daripada RM207.7 juta pada minggu sebelumnya.

MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF) dalam laporan aliran dana untuk minggu berakhir 22 November berkata walaupun terdapat aliran keluar bersih sebanyak RM19.6 juta daripada institusi tempatan pada Selasa, aliran masuk pada hari lain dalam minggu ini melakuka lebih daripada mengimbangi kemerosotan ini.

Sementara itu, peruncit tempatan menjadi penjual bersih pada minggu ini dengan jumlah aliran keluar berjumlah RM85.3 juta, menyaksikan aliran keluar setiap hari kecuali pada Khamis yang mencatat aliran masuk bersih RM12.7 juta.

Bagi pelabur asing, ia terus menjual di bursa tempatan dengan aliran keluar berjumlah RM165.3 juta, setiap hari dagangan mengalami aliran keluar asing bersih kecuali pada Selasa yang menyaksikan aliran masuk RM66.3 juta.

Aliran keluar paling banyak dicatatkan pada Khamis sebanyak RM134.5 juta, diikuti Rabu pada RM47.1 juta, Jumaat pada RM39.6 juta dan Isnin pada RM10.6 juta.

Tiga sektor teratas menyaksikan aktiviti belian bersih oleh pelabur asing ialah hartanah (RM47.2 juta), pembinaan (RM36.7 juta) dan perindustrian (RM35.3 juta).

"Selain itu, tiga sektor teratas menyaksikan aktiviti jualan bersih oleh pelabur asing ialah utiliti (RM90.6 juta), pengangkutan dan logistik (RM67.4 juta), dan pengguna (RM58.8 juta)," katanya.

MIDF berkata purata volum dagangan harian (ADTV) menunjukkan penurunan merentas semua kategori pelabur.

Pelabur asing mencatatkan penurunan sebanyak 3.6 peratus manakala pelabur institusi tempatan dan pelabur runcit mengalami penurunan, masing-masing sebanyak 5.7 peratus dan 6.1 peratus.

Di Asia, pelabur asing meneruskan jualan bersih mereka untuk minggu kelapan berturut-turut dengan jumlah aliran keluar sebanyak US$2.84 bilion (RM12.67 bilion).

Taiwan mencatatkan aliran keluar asing bersih tertinggi pada US$1.28 bilion (RM5.7 bilion), meneruskan aliran keluarnya untuk minggu keempat berturut-turut.

Ia berlaku walaupun data ekonomi positif daripada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang melaporkan bahawa pesanan eksport Taiwan meningkat untuk bulan kelapan berturut-turut pada Oktober 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan