WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pahang Dalam Proses Wartakan Sebahagian Hutan Simpan Batu Talam

25/11/2024 04:33 PM

RAUB, 25 Nov (Bernama) -- Kerajaan Pahang kini dalam proses mewartakan sebahagian Hutan Simpan Batu Talam seluas 8,133.14 hektar di sini, sebagai Taman Negeri Bukit Fraser. 

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata langkah ini merupakan inisiatif penting untuk menjamin kelestarian alam semula jadi di negeri ini.

Beliau berkata antara usaha yang telah dilaksanakan ialah mengekalkan status Rizab Biosfera Tasik Chini pada  2023 dan mewartakan Hutan Simpan Chini seluas 6,502.85 hektar yang kini turut diwartakan sebagai Hutan Taman Negeri dan Hutan Tadahan Air.

"Setakat ini, kerajaan negeri telah mewartakan seluas 645,751 hektar ataupun 40 peratus kawasan Hutan Simpanan Kekal sebagai hutan perlindungan yang mana tidak boleh disentuh apalagi diusik untuk kerja-kerja mengusahakan hasil hutan," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2024 Peringkat Pahang di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Raub di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Perhutanan Pahang Zainuddin Jamaluddin. 

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata Pahang mampu berbangga apabila memiliki kawasan berhutan seluas 2.06 juta hektar yang mewakili 57 peratus keluasan negeri ini.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita beliau memaklumkan hampir RM100 juta hasil yang dikutip kerajaan negeri tahun ini disumbang oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang antaranya menerusi kutipan cukai dan kompaun. 

"Jabatan Perhutanan Negeri Pahang telah menjadi antara penyumbang utama dalam kutipan hasil kerajaan negeri untuk memastikan sasaran kutipan hasil sebanyak RM1 billion setiap tahun dapat dicapai," katanya. 

Setakat ini, kerajaan Pahang berjaya memperoleh kutipan hasil RM1.14 bilion yang melebihi sasaran ditetapkan tahun ini iaitu RM1.13 bilion, sekali gus menjadikan tahun ketiga negeri ini memperoleh kutipan hasil melebihi RM1 bilion.

Wan Rosdy turut menegaskan kerajaan negeri tidak sesekali bertolak ansur terhadap sebarang aktiviti penerokaan tanah dan pembalakan secara haram, berikutan aktiviti tidak bermoral ini, Pahang kehilangan hasil yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan negeri.

Sementara itu, Zainuddin berkata sejak pelancaran Kempen Penanaman 100 juta pokok (2021-2025) pada 2021, Pahang berjaya merekodkan penanaman lebih 9.9 juta pokok sehingga kini. 

Beliau turut berharap lebih banyak aplikasi dan teknologi digunakan secara meluas bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan dan perlindungan hutan selain sistem maklumat geografi (GIS) serta penggunaan dron kini dilihat telah membantu dalam menjalankan pemantauan yang baik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan