WILAYAH - SELATAN > BERITA

Pemandu Mabuk Rempuh Suami Isteri Hingga Maut Didakwa Esok

25/11/2024 06:05 PM

JOHOR BAHRU, 25 Nov (Bernama) -- Lelaki disyaki memandu dalam keadaan mabuk dan merempuh pasangan suami isteri hingga maut dalam kemalangan di Jalan Besar/Jalan Mesjid, Pasir Gudang pada 16 Nov lepas akan dituduh di Mahkamah Majistret di sini esok.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata suspek berusia 34 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kertas siasatan kes ini telah dilengkapkan dan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya. Kita telah mendapat arahan untuk menuduh pemandu kereta jenis Perodua Alza itu dengan dua pertuduhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dalam kejadian pada 4 pagi itu suspek telah melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh sebuah motosikal jenis Honda Vario mangsa.

“Akibat pelanggaran itu, pasangan suami isteri itu cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan mendapati pemandu Perodua Alza telah memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi paras yang ditetapkan,” katanya.

Pasangan suami isteri itu iaitu Mohd Ridzwan Mohd Rudi, 37, dan Linda Mohd A Aziz, 35, meninggalkan lima anak berusia antara tiga hingga 17 tahun, dengan kesemuanya kini dijaga datuk dan nenek sebelah keluarga bapa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan