WILAYAH - SELATAN > BERITA

Waris Pasangan Kemalangan Dilanggar Pemandu Mabuk Terima FPM, Pencen Penakat Perkeso

26/11/2024 11:43 AM

JOHOR BAHRU, 26 Nov (Bernama) -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Johor menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM3,000 dan Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan kepada waris pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan akibat dilanggar pemandu di bawah pengaruh alkohol pada 16 Nov lepas.

Pengarah PERKESO Johor Tong Sing Chuang berkata lima anak pasangan berkenaan iaitu Nur Aleesha Aindah,17, Mohammad Ikmal Danish,15, Nur Puteri Shahkira,14, Nur Aleesha Syahmira,12 dan Nur Aisyah Humairah,3, layak menerima faedah itu.

Beliau berkata mangsa Mohamad Redzwan Mohd Rudi, 37 yang bekerja sebagai pemandu di sebuah syarikat konsesi sejak Ogos lepas, memenuhi syarat kelayakan sebagai pencarum untuk waris membuat tuntutan.

“Faedah penakat yang diterima anak mangsa atas nama bapa mereka ini ialah sebanyak RM857.85.

“Bagaimanapun, caruman bagi ibu mereka Linda Mohd A Aziz, 35, yang lima bulan bekerja sebagai pelayan restoran tidak memenuhi syarat kelayakan, dan siasatan sedang dilakukan terhadap majikan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan faedah berkenaan kepada waris mangsa di Flat Taman Cendana di sini semalam.

Tong turut mengingatkan para majikan agar memastikan pekerja mereka, termasuk yang bekerja secara sambilan, kontrak, atau harian, didaftarkan dan dicarum dengan PERKESO. Beliau menegaskan bahawa pendaftaran dan caruman perlu dilakukan dalam tempoh 30 hari dari tarikh pekerja mula bekerja.

Pasangan suami isteri berkenaan maut selepas motosikal Honda Vario yang ditunggang dirempuh Perodua Alza dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun di simpang empat lampu isyarat di Jalan Besar/Jalan Mesjid, Pasir Gudang dekat sini.

Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak kejadian pada 4 pagi itu menyebabkan pasangan terbabit mengalami kecederaan parah dan maut di tempat kejadian.

Suspek ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan