WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPK Yakin Sasaran RM28 Bilion Eksport Industri Kayu Dapat Dicapai Menjelang 2025

25/11/2024 07:43 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) yakin sasaran nilai eksport kayu dan produk kayu sebanyak RM28 bilion menjelang 2025 akan dapat dicapai seperti yang digariskan dalam Dasar Agrikomoditi Negara 2030.

Timbalan Menteri Datuk Chan Foong Hin berkata keyakinan itu berdasarkan kepada inisiatif-inisiatif strategik, permintaan global yang meningkat dan kerjasama erat antara kementerian dan pemain-pemain industri untuk meningkatkan daya saing produk kayu Malaysia melalui inovasi, pensijilan kemampanan dan kepelbagaian pasaran.

“Setakat ini pada 2024, eksport kayu telah menunjukkan pertumbuhan positif, meningkat 8.9 peratus kepada RM15.2 bilion bagi Januari hingga Ogos berbanding RM14.01 bilion dalam tempoh yang sama pada 2023,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Ekspo Kayu Malaysia (MWE) 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata pertumbuhan itu mengesahkan status Malaysia sebagai peneraju pasaran kayu global, dengan perabot kayu menjadi produk eksport terbesar negara dalam sektor perkayuan.

“Secara asasnya, ini menunjukkan produk-produk kayu Malaysia mempunyai banyak potensi untuk terus berkembang,” tambahnya.

Dianjurkan oleh Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC), ekspo itu akan berlangsung dari 10-12 Nov, 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Mengulas mengenai sasaran jualan untuk MWE 2025, Chan berkata ia di antara sekitar RM150 juta hingga RM200 juta.

“Bagi dua edisi terdahulu, MWE menjana hasil jualan yang mengagumkan sebanyak RM125.03 juta pada 2019 dan RM195.75 juta pada 2023, yang menunjukkan betapa pentingnya ekspo ini sebagai platform untuk peluang-peluang perniagaan.

"Kami menjangkakan peningkatan dalam jualan dan walaupun dengan sasaran yang konservatif, mencapai pertumbuhan dua angka tidak seharusnya menjadi masalah," tambahnya.

Terdahulu dalam ucapannya di majlis pelancaran itu, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata MWE bersedia menjadi platform utama untuk mempamerkan ketukangan dan kualiti Malaysia yang sudah diiktiraf di seluruh dunia.

“Menganjurkan ekspo pada 2025 juga bersesuaian dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN yang membolehkan MWE mengambil tugas yang lebih menonjol untuk menghubungkan perniagaan berasaskan kayu di ASEAN dan memupuk inovasi serta kerjasama,” katanya.

Teks ucapan Johari yang dibacakan oleh Chan berkata Malaysia amat komited terhadap agenda kemampanan global, berjanji untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus tanahnya diliputi hutan.

Sehingga Oktober 2024, 40 Unit Pengurusan Hutan yang merangkumi jumlah keluasan 6.52 juta hektar telah diperakui di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) manakala 370 syarikat kayu menerima sijil Rantaian Jagaan, membolehkan mereka memaparkan logo Program untuk Pengesahan Pensijilan Hutan (PEFC) pada eksport kayu yang disahkan MTCS, kata menteri berkenaan.

Antara mereka yang hadir pada majlis hari ini ialah Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia Datuk Larry Sng, Pengerusi MTC Zainal Abidin Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif MTC Noraihan Abdul Rahman.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan