WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Keuntungan Bersih Petronas Dagangan Naik Kepada RM335.13 Juta Pada Suku Ketiga

25/11/2024 08:51 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih Petronas Dagangan Bhd (PetDag) naik kepada RM335.13 juta pada suku ketiga berakhir 30 September, 2024 berbanding RM184.72 juta dalam tempoh sama pada 2023 dipacu oleh margin kukuh.

PetDAg dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata margin itu disokong oleh trend harga menggalakkan untuk komersial dan penurunan kos keseluruhan disebabkan oleh premium pembelian yang lebih rendah.

“Kumpulan itu juga mencatatkan volum lebih tinggi terutamanya daripada minyak kenderaan (Mogas) dan sektor penerbangan, susulan daripada peningkatan permintaan dan pergerakan penumpang di dalam dan luar negara yang telah memberi kesan positif kepada keuntungan kumpulan PetDag,” katanya.

Bagaimanapun, PetDag berkata hasil berkurangan kepada RM9.73 bilion pada suku ketiga berbanding RM9.92 bilion sebelumnya, di sebalik hasil lebih tinggi dalam segmen runcitnya sebanyak RM1.61 bilion.

Hasil bagi segmen komersial merosot sebanyak RM152.3 juta manakala segmen kemudahan meningkat 18 peratus kepada RM220.5 juta, dipacu oleh permintaan lebih tinggi hasil daripada promosi Kedai Mesra, Cafe Mesra dan barangan PETRONAS Shop dalam tempoh tersebut, katanya.

Mengenai prospek, PetDag berkata ekonomi domestik yang berdaya tahan terus menyediakan kumpulan persekitaran operasi kondusif dan menyokong.

“Kumpulan itu akan kekal fokus pada penyelarasan dan kecekapan operasi serta mengembangkan segmen teras dan bukan bahan api termasuk memanfaatkan aplikasi Setel dan mengembangkan penawaran produk Mesra untuk memberi pengalaman pelanggan yang lancar,” tambahnya.

PetDag telah mengisytiharkan dividen interim 24 sen yang harus dibayar pada 24 Disember, 2024.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan