WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Hyundai Motor Labur US$479 Juta Di Malaysia Untuk Tingkatkan Kapasiti Pengeluaran Tempatan

26/11/2024 11:16 AM

SEOUL, 26 Nov (Bernama-Yonhap) -- Hyundai Motor Co mengumumkan rancangan untuk melabur hampir US$480 juta di Malaysia dalam tempoh lima tahun bermula 2025 bagi meningkatkan kapasiti pengeluarannya di negara Asia Tenggara itu, lapor Agensi Berita Yonhap.

Pengeluar kereta dari Korea Selatan itu memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan syarikat tempatan, Inokom Corporation Sdn Bhd untuk menaik taraf kilang pemasangan complete knockdown (CKD) unit yang kini menghasilkan model kenderaan utiliti lasak (SUV) Santa Fe generasi lama.

Kilang CKD yang dinaik taraf itu dijadual memulakan pengeluaran kenderaan pelbagai guna (MPV) dan minivan Staria keluaran Hyundai menjelang pertengahan 2025, dengan rancangan untuk memperluaskan rangkaian termasuk SUV bersaiz sederhana hingga besar.

Hyundai memaklumkan bahawa skala pengeluaran akan bermula dengan 20,000 unit setahun, dan rancangan pengembangan secara berperingkat.

Kenderaan yang dihasilkan di kemudahan terbabit dijangka dipasarkan di Malaysia dan negara Asia Tenggara lain.

Selain itu, Hyundai menegaskan komitmennya untuk menyokong pembangunan ekosistem kenderaan elektrik (EV) di Malaysia, termasuk memperluas jualan EV, membangunkan infrastruktur pengecasan dan menubuhkan kemudahan pengeluaran bateri.

“Kami membuat keputusan pelaburan ini berdasarkan kepentingan yang semakin meningkat bagi Asia Tenggara dan pasaran Malaysia.

“Kami juga berhasrat untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial di rantau ini melalui penciptaan peluang pekerjaan serta pembangunan bakat tempatan,” menurut Hyundai.

-- BERNAMA-YONHAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan