WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPK Pertimbang Insentif Cukai Untuk Jadikan Malaysia Hab Pengeluaran SAF

26/11/2024 12:48 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sedang mempertimbangkan beberapa insentif cukai untuk menarik pelabur ke Malaysia untuk menjadikan negara sebagai hab pengeluaran bahan api penerbangan mampan (SAF).

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia, ia berada dalam kedudukan strategik untuk menjadi salah satu pengeluar SAF utama dunia.

Beliau berkata Malaysia boleh memanfaatkan sumber bahan mentah yang boleh digunakan untuk menghasilkan SAF termasuklah empty fruit bunch (EFB), palm oil mill effluent (POME), lemak haiwan,  microalgae dan minyak masak terpakai (UCO).

"Setiap penerbangan boleh menggunakan sehingga 46 atau 47 peratus minyak campuran daripada biofuel ini. Namun, lebihan kapasiti SAF dihasilkan di negara ini boleh dieksport ke negara-negara yang tidak mempunyai keupayaan menghasilkan minyak SAF," katanya semasa sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai inisiatif SAF dan potensi nilai tambahnya terhadap ekonomi negara.

Johari berkata seiring dengan Malaysia Aviation Decarbonization Blueprint (MDB), KPK dengan kerjasama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang berusaha membangunkan dokumen National Strategy for Sustainable Aviation Fuel bagi menyokong perkembangan industri pengeluaran dan penggunaan SAF negara.

Beliau turut memberitahu keperluan membina kilang-kilang untuk pengeluaran SAF seperti kilang pertama oleh EcoCeres Renewable Fuels Sdn Bhd (Hong Kong) dengan kapasiti 350,000 tan, dan kilang kedua oleh Petronas yang dirancang menghasilkan 650,000 tan metrik.

"Jika kedua-dua kilang ini beroperasi, Malaysia berpotensi menghasilkan sehingga satu juta tan SAF setahun,” katanya.

Johari berkata Malaysia dijangka mula menghasilkan SAF secara mampan pada 2027 dengan kapasiti pengeluaran akan ditingkatkan secara berperingkat bergantung kepada kapasiti loji dan ketersediaan bahan mentah. 

Langkah itu adalah seiring dengan agenda negara untuk menjadi pengeluar utama SAF di Asia Tenggara, katanya lagi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan