WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Penjawat Awam Perlu Bersatu Hati, Sama-sama Angkat Martabat Perkhidmatan - KSN

26/11/2024 03:14 PM

PUTRAJAYA, 26 Nov (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mahu semua penjawat awam bersatu hati dan bersama-sama mengangkat martabat perkhidmatan awam.

Beliau berkata mereka juga perlu menerapkan sifat bangga sebagai penjawat awam kerana ia dapat membolehkan seseorang pegawai melaksanakan amanah dan menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

 “Kita kena bangga dengan khidmat kita sebagai penjawat awam dan untuk berbangga, kita mesti ada sifat luhur dengan memuliakan perkhidmatan (tugas) kita.

“(Cara untuk) memuliakan tugas kita adalah dengan memberikan perkhidmatan terbaik, penuh integriti dan berdedikasi,” katanya kepada media selepas menyampaikan ucaptama bertajuk "Taat Setia Reformasi Penjawat Awam" pada Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI: Taat Setia anjuran Akademi Kenegaraan (AKM) di sini hari ini.

Seminar itu dihadiri lebih 1,000 penjawat awam termasuk ketua setiausaha daripada pelbagai kementerian.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Terdahulu ketika menyampaikan ucaptama, Shamsul Azri berkata sebagai penjawat awam, semua pegawai mesti memahami bahawa tugas yang telah diamanahkan adalah untuk berkhidmat kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang. 

“Ini satu manifestasi daripada prinsip keadilan dan kesaksamaan yang tertera dalam Perlembagaan Persekutuan. Komitmen kita kepada negara dan raja haruslah ditunjukkan melalui tindakan yang menepati nilai-nilai ini,” katanya.

Menyentuh kerangka Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam, Teras Keberhasilan Reformasi 1: Nilai dan Tatakelola, Shamsul Azri berkata beliau telah menggariskan strategi untuk meningkatkan taat setia penjawat awam menerusi Modul Latihan Malaysia MADANI Penjawat Awam. 

“Alhamdulillah saya difahamkan hingga kini lebih 250,000 penjawat awam telah menjalani modul ini sama ada di bawah kelolaan AKM atau di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN),” katanya.

Beliau berkata matlamat kerajaan adalah untuk mencapai keterlibatan sebanyak 750,000 penjawat awam yang menjalani modul berkenaan pada 2026 dan 1.4 juta menjelang 2030.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan