SEOUL, 26 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata adalah penting bagi Malaysia untuk melibatkan diri dengan negara di Asia Timur, khususnya Korea, Jepun dan China kerana negara-negara ini mempunyai kepentingan ekonomi dan strategik yang signifikan kepada negara.
Prdana Menteri berkata beliau percaya bahawa dengan memupuk persahabatan dan kepercayaan, Malaysia akan dapat menangani isu-isu kompleks seperti pendidikan, penyelidikan, kesihatan awam, pendigitalan, kecerdasan buatan (AI), kerjasama ketenteraan dan isu-isu maritim.
Beliau berkata sebagai negara perdagangan yang penting, Malaysia telah menjadi hab serantau bagi syarikat global, termasuk pusat data dan hab semikonduktor, yang menyerlahkan potensi negara untuk pertumbuhan selanjutnya.
Dalam syarahan khasnya bertajuk “Strategic Partners in a Complex World: Malaysia, Korea, and the Future of Asia” di Seoul National University hari ini, Anwar turut menekankan kepentingan kerjasama dalam ASEAN, dan menyifatkan ia sebagai satu daripada rantau ekonomi yang paling aman dan dinamik di dunia.
“Kerjasama dan hubungan kerja dalam kalangan pemimpin ASEAN adalah sangat baik. Maksud saya, saya boleh menghubungi mana-mana pemimpin (ASEAN) pada bila-bila masa dan mereka akan melayan kita seperti kawan sejati, kawan yang dipercayai. Apa yang kurang - pastinya adalah perdagangan intra ASEAN, dan juga pelaburan serta aktiviti ekonomi yang lebih rancak,” katanya.
Sehubungan itu Anwar berkata apabila Malaysia mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN tahun depan, beliau merancang untuk mengutamakan inisiatif seperti grid tenaga ASEAN, pendigitalan dan perdagangan serta pelaburan antara wilayah, yang bertujuan mengukuhkan hubungan ekonomi rantau ini, dan pada masa yang sama bekerjasama dengan rakan kongsi Asia Timur seperti China, Jepun dan Korea.
Ditanya bagaimana Malaysia boleh menangani cabaran dan strategi ekonomi yang berkaitan dengan dasar Presiden Amerika Donald Trump yang khususnya berkaitan dengan tarifnya terhadap China, Anwar berkata memang tidak dapat dinafikan bahawa pendirian perlindungan Trump itu mempunyai kesan yang ketara kepada perdagangan antarabangsa.
Beliau berkata dengan status China sebagai pemain ekonomi utama, negara yang mempunyai hubungan perdagangan yang kukuh dengan republik itu seperti Korea, Malaysia dan negara ASEAN, pasti akan merasai kesannya.
“Saya harapkan yang terbaik, bermakna terdapat kemungkinan peralihan (dalam dasar ini untuk mengurangkan kesan negatif). (Kita tahu) bahawa sesuatu dasar itu digubal khusus untuk melindungi kepentingan negara mereka sendiri, tetapi saya percaya perlindungan yang melampau tidak akan membantu ekonomi negara,” katanya.
Perdana Menteri berkata walaupun terdapat kemungkinan wujudnya gangguan, ekonomi di rantau ini, termasuk negara-negara ASEAN, adalah lebih kukuh dan lebih berdaya tahan berbanding sebelum ini, dan walaupun mungkin terdapat kelembapan jangka pendek, mereka seharusnya dapat mengharungi cabaran-cabaran itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial