WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Projek HSR Mampu Perkukuh Kedudukan Malaysia Di Asia Tenggara - Pakar Pengangkutan

26/11/2024 10:45 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Langkah meneruskan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura akan memberi peluang kepada Malaysia untuk memanfaatkan potensi ekonomi negara sepenuhnya dan mengukuhkan kedudukannya di Asia Tenggara, kata badan pemikir pengangkutan, My Mobility Vision.

Ketua Pegawai Strateginya, Rahman Hussin berkata badan pemikir itu menghargai usaha kerajaan untuk menangani keperluan infrastruktur yang mendesak tetapi ia perlu mengambil kira projek HSR sebagai satu keutamaan.

“HSR bukan hanya satu ujian terhadap aspirasi Malaysia tetapi asas kepada masa depan negara.

“Tanpanya, kita berisiko melihat negara lain mendahului sementara kita kekal tidak bergerak,” katanya kepada Bernama.

Rahman turut menekankan manfaat ekonomi yang bakal diperoleh daripada projek HSR.

Katanya kos pembinaan HSR yang dianggarkan berjumlah RM70 bilion boleh menjana RM250 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan Singapura, selain mewujudkan lebih 111,000 peluang pekerjaan baharu menjelang 2060 dan menghasilkan impak ekonomi lebih luas sehingga RM19 trilion. 

“Impak ini termasuk mewujudkan hab perniagaan baharu di sepanjang laluan rel serta lonjakan dalam perdagangan dan pelancongan.

“Kejayaan ini tidak dapat dicapai menerusi kutipan tambang sahaja tetapi ia menekankan mengenai kepentingan projek ini dalam pelan hala tuju ekonomi Malaysia,” katanya.

Justeru, Rahman mahu tindakan segera diambil bagi memulihkan projek HSR dengan memberi tumpuan kepada merangka pelan komprehensif yang mengutamakan kesalinghubungan, impak ekonomi dan pertumbuhan jangka panjang. 

“HSR bukan sahaja mengenai cabaran hari ini, ia mengenai peluang hari esok.

“Janganlah kita berpuas hati dengan kemajuan kecil apabila perubahan besar berada dalam jangkauan kita,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan