WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MPBP Keluar 1,371 Notis Pemutihan Ubah Suai Tanpa Kebenaran

26/11/2024 06:25 PM

BATU PAHAT, 26 Nov (Bernama) -- Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) mengeluarkan 1,371 notis pemutihan terhadap pemilik bangunan industri dan komersial yang melakukan pengubahsuaian tanpa kebenaran pihaknya.

Yang Dipertua MPBP Ezahar Abu Sairin berkata ini termasuk kesalahan ubah suai yang menyimpang daripada kelulusan pelan dengan 1,079 notis dikeluarkan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

Beliau berkata 292 notis lagi dikeluarkan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) dan program pemutihan ini bertujuan memastikan kesemua premis perniagaan di bandar itu beroperasi mengikut undang-undang.

“MPBP juga berjaya mengutip RM4.28 juta semasa program pemutihan (premis industri dan komersial) ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Publisiti Program Pemutihan Ubahan dan Tambahan Rumah Kediaman Yang Dibina Tanpa Kebenaran di Kawasan MPBP, di sini hari ini.

Beliau berkata terdapat dua kategori kesalahan penambahan tanpa kebenaran iaitu tidak mengganggu kemudahan awam dan satu lagi sehingga melibatkan kacau ganggu seperti menutup longkang dan binaan atas rizab jalan serta dibina di luar zon ditetapkan.

Ezahar berkata bangunan yang tidak mengganggu kemudahan awam dibenarkan untuk terus kekal di tapak sedia ada, dengan syarat pemiliknya perlu mengemukakan permohonan pelan atau permit bangunan sementara.

“Bagi kesalahan penambahan yang dikategorikan melibatkan kacau ganggu pula, pemilik bangunan perlu memindahkan operasi ke zon guna tanah yang selaras dengan Rancangan Tempatan Daerah (RTD) yang telah ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata 67,000 pemilik rumah jenis teres, berkembar dan banglo di bandar itu diberi peringatan untuk melakukan pengisytiharan secara sukarela aktiviti pengubahsuaian dan binaan tambahan.

Ezahar berkata melalui kajian MPBP, hampir 68 peratus pemilik premis kediaman telah melakukan pengubahsuaian tanpa kebenaran atau menyimpang daripada pelan yang telah diluluskan.

“Proses pemutihan yang dilakukan hingga Disember tahun depan untuk memudahkan kelulusan, sekali gus menyelesaikan masalah ubah suai tanpa kebenaran.

“Selepas tarikh berkenaan, proses penguatkuasaan akan dilakukan dengan tindakan mahkamah bakal dikenakan terhadap pemilik kediaman yang membuat pengubahsuaian tanpa kelulusan,” katanya dan tindakan mengikut Seksyen 70(11) Akta Jalan, Parit dan Bangunan itu memperuntukkan denda tidak melebihi RM25,000.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan