WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JKM Kelantan Hantar Kit Bantuan Banjir Ke 160 Pangkalan Hadapan

26/11/2024 10:15 PM

KOTA BHARU, 26 Nov (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan telah menghantar kit bantuan banjir ke 160 pangkalan hadapan dan 17 depoh mini di seluruh negeri ini.

Pemangku Pengarah JKM negeri Md Yani Mat Zin berkata kit bantuan itu diagihkan pada dua bulan lepas sebagai persiapan awal menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

"Tahun ini genap 10 tahun peristiwa banjir (besar) 2014 dan mengambil iktibar daripada kejadian berkenaan, kita lakukan persiapan awal bagi memastikan kesemua mangsa menerima bantuan disediakan.

"Kita juga melantik 85 pembekal di semua jajahan terdiri daripada kedai runcit, pasar raya dan kilang bagi menyediakan stok barangan keperluan jika diperlukan," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan di Depoh Simpanan Keperluan Bencana di sini hari ini.

Md Yani berkata kit bantuan yang disediakan pada tahun ini melebihi jumlah yang diperuntukkan tahun lepas.

"Selain peruntukan kerajaan Persekutuan, JKM turut menerima sumbangan daripada pelbagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat perniagaan.

"Kebanyakan GLC memberi sumbangan barangan keperluan asas, peralatan kebersihan diri dan makanan dengan sumbangan minimum 1,000 kotak bagi sekali penghantaran," katanya dan memaklumkan kerajaan negeri juga memainkan peranan besar dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir.

Sementara itu, Md Yani berkata cuti kesemua 402 petugas JKM telah dibekukan berkuat kuasa 5 Nov lepas selain 290 anggota sukarelawan JKM sedia digerakkan membantu mangsa banjir di seluruh jajahan.

Beliau berkata kad pusat pemindahan sementara (PPS) yang diperkenalkan tahun lepas juga diteruskan tahun ini bagi digunakan mangsa banjir di 459 PPS di seluruh Kelantan.

"Aktiviti memasak secara gotong-royong di PPS turut dilaksanakan tahun ini selepas dipersetujui kerajaan negeri berikutan syarikat katering tidak mampu menyajikan makanan di PPS sebelum ini kerana turut menjadi mangsa banjir,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan