WILAYAH - UTARA > BERITA

Kedah Sasar Tujuh Juta Pelancong Sempena Tahun Melawat Kedah 2025

27/11/2024 04:13 PM

ALOR SETAR, 27 Nov (Bernama) -- Kedah menyasarkan tujuh juta kedatangan pelancong sempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025 berbanding sasaran awal 6.5 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah Datuk Mohd Salleh Saidin berkata peningkatan sasaran itu berikutan peruntukan RM5.81 juta sebagai dana khusus TMK 2025 dalam Belanjawan Kedah 2025 yang dibentangkan Ahad lepas.

“Jumlah peruntukan yang diberi bukan sahaja mencerminkan kepercayaan, tetapi juga harapan tinggi untuk memastikan segmen pelancongan di Kedah ini benar-benar berdaya maju dan pada masa sama TMK 2025 benar-benar berjaya.

“Peruntukan tersebut akan dimanfaatkan sebaiknya berpandukan prinsip tadbir urus cekap, tatakelola yang baik dan visi serta misi jelas,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan Kedah 2025  pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.

Pada pembentangan Belanjawan Kedah 2025 Ahad lepas, Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM5.81 juta sebagai dana khusus bagi menyokong kempen TMK 2025.

Peruntukan itu meliputi perbelanjaan promosi pelancongan, program pocket event dan pembaikan serta penyelenggaraan kemudahan pelancongan termasuk membangunkan Galeri Perang Musuh Bisik dan kerja-kerja menaik taraf kemudahan terutama di pintu masuk taman ekorimba di seluruh Kedah.

Sementara itu, Mohd Salleh berkata sebagai pengisian TMK 2025, banyak program telah disusun termasuk 100 acara pelancongan yang akan dianjurkan di peringkat daerah.

Di peringkat negeri pula, beliau berkata menerusi Kedah Tourism, pelbagai program telah disusun termasuk berskala nasional dan antarabangsa seperti Festival Tarian Singa, temasya Sukan Sungai Antarabangsa, Pesta Mempelam, Festival Pedu, Karnival Jerami dan Experience Kedah Floria Citrawarna.

“Kita juga merancang untuk mengadakan ‘International Islamic Festival 2025’, Kedah MyKampung yang melibatkan pelajar antarabangsa, Pesta Makanan Tradisional Kedah, Jom Beraya di Kedah dan beberapa lagi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pengumuman syarikat penerbangan Batik Air yang akan memulakan penerbangan sulungnya bagi laluan Kuala Lumpur-Alor Setar pada 5 Dis nanti, akan membantu meningkatkan kedatangan pelancong ke negeri ini.

“Saya juga sedang mengusahakan laluan penerbangan baharu Alor Setar-Kota Bharu, yang sekiranya berjaya, saya yakin akan memberikan impak berganda pada usaha merancakkan sektor pelancongan di negeri ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan