WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pendaftaran STTP Masih Rendah Dalam Kalangan Pesawah - LPP

28/11/2024 02:34 PM

TAIPING, 28 Nov (Bernama) -- Pesawah di seluruh negara diseru mencarum dengan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) sebagai persediaan bagi menghadapi pelbagai risiko bencana alam termasuk banjir yang mampu menjejaskan pengeluaran hasil padi.

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Datuk Mahfuz Omar berkata masih ramai dalam kalangan pesawah tidak mendaftar STTP walaupun ia telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 September lepas.

“Kita seru supaya semua pesawah mendaftar segera di bawah STTP ini, untuk dua musim permulaan penanaman caruman skim dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.

“Kesempatan ini seharusnya diambil sepenuhnya oleh para pesawah untuk pastikan kita tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) yang terhad dari segi jumlah bantuan yang diterima,” katanya selepas menghadiri sesi lawatan Program Kerjasama Tanaman Bawang Merah ‘Shallot” di Pusat Koreksional Kamunting, di sini, hari ini.

Mahfuz berkata pendaftaran di bawah STTP juga memberi banyak kelebihan kepada para pesawah kerana pembayaran ganti rugi adalah tinggi dan membabitkan keluasan kawasan keseluruhan yang ditimpa bencana.

“Kalau melalui TBTP, bantuan diberi terhadap luas kawasan tanaman padi yang tidak melebihi keluasan 1.2 hektar sahaja, berbanding STTP yang membayar ganti rugi mengikut luas kawasan terjejas,” katanya.

Sebelum ini Agrobank dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah melancarkan STTP yang bertujuan melindungi pesawah daripada risiko kerugian akibat bencana alam dan serangan penyakit yang sering mengancam tanaman padi.

Melalui STTP kerajaan memperuntukkan dana permulaan sebanyak RM50 juta bagi memastikan pesawah yang terlibat menerima perlindungan kewangan yang mencukupi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan