WILAYAH - UTARA > BERITA

IPPSB, PPSB Meterai MoU Kukuh Kedudukan Malaysia Dalam Koridor Logistik ASEAN

28/11/2024 02:51 PM

PADANG BESAR, 28 Nov (Bernama) -- Inland Port Perlis Sdn Bhd (IPPSB) yang merupakan pemaju hab logistik canggih Perlis Inland Port (PIP) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Penang Port Sdn Bhd (PPSB).

MoU itu dimeterai dalam usaha mempertingkatkan perdagangan serantau dan merasionalisasi logistik serta mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam koridor logistik ASEAN.

 Pengerusi Eksekutif Kumpulan Mutiara Perlis Sdn Bhd Datuk Shabaruddin Ibrahim berkata kerjasama itu menandakan transformasi penting dalam landskap logistik di utara Malaysia serta menyokong pertumbuhan ekonomi dan memperkukuhkan pergerakan kargo rentas sempadan. 

"MoU dengan PPSB mewujudkan perkhidmatan rel bersepadu dan proses pengendalian kargo yang selaras, merasionalisasi operasi pemindahan kargo di antara PIP dengan PPSB. 

"Selain itu, kerjasama ini turut merangkumi usaha untuk mengumpulkan kontena kosong di PIP bagi mempermudah pengurusan pemindahan kargo di antara Selatan Thailand dengan Penang Port,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bersempena majlis menandatangani MoU berkenaan serta penyerahan memorandum kerjasama (MoC) di antara Mutiara Perlis dengan Asosiasi Depo Kontainer Indonesia  (ASDEKI) di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) dekat sini hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli. 

Untuk rekod, IPPSB ialah anak syarikat milik penuh Mutiara Perlis Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat usaha sama di antara Mutiara Infra Sdn Bhd dengan Menteri Besar Incorporated (MBI) Perlis.

Shabaruddin berkata inisiatif strategik itu menekankan komitmen untuk mengoptimumkan aliran perdagangan serantau serta memperkukuhkan sambungan logistik rentas sempadan.

“MoU ini menzahirkan dedikasi bersama kami untuk membentuk landskap logistik yang cekap dan lancar di wilayah utara Malaysia.

"Kami amat berbangga kerana dapat bekerjasama dengan PPSB untuk memperkukuh pergerakan kargo rentas sempadan yang akan memberikan impak positif kepada ekonomi serantau,” katanya.

Sementara itu, Shabaruddin berkata MoC dengan ASDEKI akan memperluas capaian IPPSB dalam rantau ASEAN yang menekankan kerjasama rentas sempadan dan koordinasi logistik dengan Indonesia.

"Kerjasama ini sejajar dengan visi PIP dan peranannya sebagai pemilik aset infrastruktur logistik untuk mempermudah pemain logistik untuk memperkukuh aliran kargo serta mewujudkan sinergi ekonomi di antara Malaysia dengan Indonesia," katanya.

Beliau berkata kerjasama dengan ASDEKI itu memperlihatkan kerangka bersama untuk kerjasama serantau yang membolehkan kedua-dua negara memanfaatkan kelebihan logistik dan membina koridor logistik ASEAN yang bersepadu.

“Meluaskan rangkaian kami dengan ASDEKI akan meletakkan PIP pada kedudukan yang strategik untuk menyokong perdagangan serantau dan memperkukuhkan ikatan ekonomi bersama Indonesia," katanya.

Menurut beliau MoU dengan PPSB serta MoC dengan ASDEKI melambangkan komitmen jangka panjang IPPSB dalam memperkukuh perdagangan serantau dan membina ekosistem logistik yang mampan dan berdaya tahan di negara ini.

"Dengan memperluas keupayaan intermodal (lebih daripada satu mod pengangkutan) dan menjalin kerjasama strategik dengan pemain logistik serantau dan global, IPPSB memperkukuh peranannya sebagai penyumbang utama dalam industri logistik Malaysia dan koridor perdagangan ASEAN," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan