WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Gencatan Senjata Di Selatan Lubnan Elak Lebih Banyak Keganasan, Serangan - Anwar

28/11/2024 08:41 PM

PUTRAJAYA, Nov 28 (Bernama) -- Perjanjian gencatan senjata di Selatan Lubnan yang berkuat kuasa semalam akan mengelakkan lebih banyak keganasan dan serangan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata beliau mengalu-alukan sebarang percubaan dan inisiatif untuk mencari penyelesaian secara damai terhadap konflik itu.

"Walaupun kita masih menunggu maklumat lanjut tetapi buat masa ini gencatan senjata nampaknya sesuatu yang positif. Banyak pihak yang masih tidak berpuas hati, kita perlu memantau dengan teliti.

"Tetapi pada saya apa yang penting, tentunya gencatan senjata kerana kita patut sekurang-kurangnya mengelakkan lebih banyak serangan ganas. Tetapi kebimbangan saya bukan sahaja Selatan Lubnan yang sedang kritikal dalam kes ini, tetapi juga Gaza dan Tebing Barat," katanya.

Anwar berkata demikian ketika Dialog bersama Perdana Menteri pada Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini hari ini.

Perjanjian gencatan senjata antara Israel dan kumpulan Hizbullah yang dicapai menerusi usaha diplomatik Amerika Syarikat dan Perancis berkuasa kuasa pada 27 Nov.

Amerika Syarikat sebelum ini memaklumkan pihaknya akan cuba mengatur inisiatif baharu bagi mencapai gencatan senjata di Gaza.

Sementara itu, Anwar berkata idea tanpa nilai dan akhlak mempunyai kelompongan, justeru Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ditubuhkan agar mempunyai pengisian dari segi agama dan nilai untuk menyantuni masyarakat secara langsung.

Beliau berkata tanggungjawab mahasiswa selain menimba ilmu juga adalah harus mempertahankan idealisme dan cita-cita murni untuk mendokong perjuangan, menegakkan keadilan dan benci kepada rasuah serta penyelewengan.

Anwar berkata suatu ketika dahulu beliau dan bekas mahasiswa bangkit mendokong perjuangan rakyat di Baling dan Sik susulan isu kelaparan tanah yang menyebabkan harga getah merudum dan kehidupan yang sukar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan