WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Piala Malaysia: Yusri Che Lah Mahu Pemain Kekalkan Momentum

01/12/2024 11:17 AM

MANJUNG, 1 Dis (Bernama) -- Ketua Jurulatih Perak FC Yusri Che Lah mahu anak buahnya memantapkan lagi corak permainan jika pasukan itu mahu melangkah lebih jauh bagi merebut kejuaraan Piala Malaysia musim ini.

Yusri berkata sekalipun menarik nafas lega kerana berjaya menjinakkan Kelantan Darul Naim (KDN) FC 3-1 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) malam tadi, Yusri mengakui masih ada ruang yang perlu diperbaiki bagi memastikan Perak terus mara.

“Pemain perlu lebih bijak dalam mengawal permainan dan memanfaatkan setiap peluang yang tercipta kerana walaupun kita menang namun saya rasa tidak cukup 'mantap' selaku tuan rumah.

“Walau bagaimanapun saya, memuji aksi anak buah yang berjaya melepasi saingan pusingan 16 dan masuk ke suku akhir, namun kita harus sentiasa peka disebabkan Disember jadual agak padat,” katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan malam tadi.

Selepas menang bergaya pada aksi pertama 3-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) minggu lepas, The Bos Gaurus mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Malaysia 2024/25 dengan agregat 6-1.

Keputusan ini menyaksikan Perak akan menanti pemenang antara Selangor FC ataupun Sri Pahang FC yang dijadualkan akan bertembung hari ini, dengan kedua-dua pasukan sebelum ini terikat seri 1-1 secara agregat.

Yusri berkata ketiadaan Luciano Guaycochea selaku kapten pasukan Perak sedikit meresahkannya, yang amat menagih khidmat pemain kelahiran Argentina itu selepas pemain itu mengalami kecederaan buku lali kiri. 

“Saya rasa Lucho (Luciano) masih belum dapat beraksi untuk perlawanan akan datang menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC, cuma kita bernasib baik Luka Milunovic telah kembali termasuk Luiz Motta yang tidak diturunkan selama tiga bulan.

“Begitu juga Ariff Ar Rasyid Ariffin yang telah kembali ke skuad utama setelah empat bulan berehat dan hari ini apabila diturunkan berjaya menghasilkan satu gol, walaupun kini masih lagi mencari rentak,” katanya. 

Sementara itu, Penolong Ketua Jurulatih KDN FC Rezal Zambery Yahya mengakui kurang keyakinan dalam kalangan pemainnya menjadi punca kekalahan 1-3 kepada Perak.

“Separuh masa pertama memang nampak ketara (kurang keyakinan) namun separuh masa kedua sudah nampak perubahan hingga kita mampu jaringkan satu gol.

“Keyakinan dan kepercayaan itu perlu dibina dan apa yang kita dapati malam ini, pemain perlu bekerja keras dan melihat ke depan agar kesilapan dapat diperbaiki,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan