WILAYAH - TENGAH > BERITA

Bursa Malaysia Tinggi Dalam Dagangan Awal

02/12/2024 10:59 AM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia tinggi dalam dagangan awal hari ini, menjejaki kenaikan di Wall Street pada Jumaat lepas.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 1.95 mata kepada 1,596.24 daripada 1,594.29 pada Jumaat lepas. 

Indeks dibuka tinggi 2.55 mata kepada 1,596.84.

Bagaimanapun, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 160 berbanding 151 manakala 304 kaunter tidak berubah, 1,800 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 144.99 juta unit bernilai RM58.89 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata bursa tempatan dijangka stabil berdasarkan keputusan kewangan korporat pada suku ketiga yang telah dilaporkan tanpa sebarang kejutan negatif yang besar.

Sehubungan itu, beliau percaya pembeli akan kembali jika indeks turun di bawah paras 1,590.

“Oleh itu, pasaran dijangka kekal dalam julat 1,595 hingga 1,610 hari ini, sebahagian besarnya disokong oleh prestasi saham perladangan berdasarkan harga minyak sawit mentah (MSM) yang kukuh,” katanya kepada Bernama.

Menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB), FBM KLCI dijangka meneruskan fasa konsolidasinya berikutan aliran keluar dana asing.

Selain itu, katanya faktor seperti ketegangan geopolitik, ketidaktentuan mengenai penurunan kadar faedah AS, pertumbuhan China yang lembap dan pentadbiran Trump 2.0 boleh meningkatkan lagi ketidaktentuan pasaran.

“Bagaimanapun, pemulihan teknikal dijangka pada Disember, dengan paras halangan pada 1,607, 1,625 dan 1,648 serta paras sokongan pada 1,577 dan 1,588,” menurut HLIB dalam nota penyelidikan hari ini.

Saham wajaran tinggi Maybank tidak berubah pada RM10.20, CIMB menambah satu sen kepada RM8.26 dan Public Bank naik dua sen kepada RM4.49. Tenaga Nasional berkurangan empat sen kepada RM13.62 manakala IHH dan Hong Leong Bank, masing-masing merosot enam sen kepada RM7.20 dan RM20.62.

Dalam kalangan saham aktif, Ta Win dan PDZ, masing-masing susut setengah sen kepada dua sen dan empat sen, Capital A merosot satu sen kepada 99 sen. Yew Lee tidak berubah pada 46 sen dan Mestron menambah satu sen kepada 31 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 14.23 mata kepada 12,145.36, Indeks FBMT 100 meningkat 13.47 mata kepada 11,837.26 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 21.81 mata kepada 12,056.50.

Indeks FBM 70 naik 16.59 mata kepada 17,876.41, bagaimanapun Indeks FBM ACE merosot 10.16 mata kepada 5,121.49.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 5.50 mata kepada 19,184.53 manakala Indeks Tenaga menambah 1.09 mata kepada 813.38 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.68 mata kepada 170.97.

Indeks Perladangan meningkat 39.38 mata kepada 7,571.20.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan