WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Jumlah Mangsa Banjir Di Lapan Negeri Mula Menurun Pagi Ini

03/12/2024 10:19 AM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di lapan negeri terjejas semakin menurun pagi ini kepada 94,636 orang berbanding 99,823 orang malam tadi, manakala angka kematian akibat banjir yang telah dilaporkan kekal pada tujuh orang.

Bilangan mangsa di KELANTAN mencatatkan penurunan apabila seramai 57,790 orang masih berlindung di 164 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pagi ini, berbanding 62,507 orang malam tadi.

Menurut Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah Pasir Mas kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 28,029 orang, diikuti Tumpat (21,082), Bachok (2,699), Kuala Krai (2,476), Kota Bharu (1,067), Pasir Puteh (1,053), Machang (957) dan Tanah Merah (427).

Portal infobanjir.water.gov.my pula memaklumkan dua sungai utama di negeri itu membabitkan Sungai Golok di Rantau Panjang dan Sungai Golok di Tumpat, melepasi paras bahaya namun ia dalam trend menurun dengan masing-masing merekodkan bacaan 10.21 meter (m) dan 3.93m, setakat ini.

Situasi banjir di TERENGGANU juga sedikit reda dengan jumlah mangsa yang berada di 142 PPS berkurangan kepada 25,907 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 26,693 orang malam tadi.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan daerah paling terjejas adalah Dungun dengan jumlah mangsa seramai 7,928 orang, diikuti Kuala Nerus (6,781), Besut (4,362), Kuala Terengganu (3,896), Hulu Terengganu (1,069), Setiu (706), Marang (685) dan Kemaman (480).

Menurut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri itu, paras air di dua stesen di Kuala Nerus melepasi paras bahaya melibatkan Sungai Nerus di Kampung Jeram pada bacaan 4.23m dan Parit Utama di Padang Kemunting pada paras 4.08m.

Sementara itu, di KEDAH merekodkan sedikit peningkatan jumlah mangsa banjir iaitu seramai 7,206 orang ditempatkan di 42 PPS setakat 8 pagi ini berbanding 7,143 orang malam tadi, menurut Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain.

“Kota Setar masih mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 4,168 orang daripada 1,258 keluarga; diikuti Kubang Pasu (1,936 orang, 609 keluarga); Pokok Sena (567 orang, 167 keluarga); Padang Terap (309 orang, 88 keluarga) dan Sik (226 orang, 63 keluarga)," katanya dalam kenyataan.

Berdasarkan aplikasi InfoBencana JKM, mangsa banjir di PAHANG terus meningkat pagi ini apabila 1,855 orang ditempatkan di 22 PPS berbanding 1,745 orang semalam, dengan bilangan mangsa di Raub merekodkan jumlah tertinggi iaitu 1,829 orang yang ditempatkan di 20 PPS manakala 13 orang kekal berada di satu PPS, masing-masing di Jerantut dan Lipis.

Jumlah mangsa banjir di JOHOR turut meningkat kepada 1,056 orang dengan sebanyak 19 PPS telah diaktifkan membabitkan daerah Segamat dan Tangkak setakat 8 pagi ini, berbanding 924 orang malam tadi, menurut  Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Di PERAK juga mencatatkan sedikit peningkatan bilangan mangsa banjir iaitu 618 orang yang ditempatkan di sembilan PPS berbanding 607 orang malam tadi, menurut jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di dua negeri kekal pada pagi ini iaitu MELAKA merekodkan 161 orang masih berada di dua PPS manakala 43 orang di PERLIS masih berlindung di satu PPS.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan