WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Seminar Halal Malaysia Di Namibia Serlahkan Peluang Pensijilan, Peluasan Perdagangan

03/12/2024 12:03 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Windhoek, Namibia, menganjurkan Seminar Halal Malaysia pada Isnin bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk memahami proses pensijilan Halal dan bagaimana Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) boleh membantu produk Namibia mendapatkan pensijilan Halal.  

Seminar itu diadakan susulan minat yang semakin mendalam daripada persatuan Halal di Namibia yang memerlukan panduan dalam isu berkaitan Halal.  

Ia menarik penyertaan 15 hingga 20 wakil daripada pelbagai badan Halal di Namibia, termasuk Majlis Halal Islam Namibia, Persatuan Halal Islam Namibia, dan Majlis Islam Namibia.  

Pada masa ini, kebanyakan produk di Namibia diperakui oleh persatuan Halal tempatan atau badan pensijilan Halal di negara jiran, Afrika Selatan.  

Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Namibia, Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya dalam ucapan alu-aluannya menekankan kepentingan seminar ini sebagai pelopor kepada acara lebih besar yang dirancang pada tahun hadapan untuk meneroka peluang lebih luas dalam pasaran Halal.  

Beliau berkata, konsep "Halal" atau dibenarkan, seperti yang dirujuk dalam al-Quran bukan sahaja berkaitan makanan dan minuman, tetapi juga merangkumi pelbagai aspek kehidupan termasuk kewangan, pakaian, dan tingkah laku, sekali gus menunjukkan pentingnya memahami dan melaksanakan piawaian Halal yang komprehensif.  

Rameez turut memperkenalkan penceramah jemputan iaitu Penolong Pengarah Kanan Sekretariat Majlis Halal Malaysia dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dr Johair Ab Latiff yang berkongsi pandangan berharga mengenai proses pensijilan Halal.  

Seminar ini turut merangkumi sesi soal jawab yang membolehkan peserta membincangkan isu-isu kritikal berkaitan pensijilan.

Antara topik utama yang dibangkitkan adalah keperluan untuk latihan pembangunan kapasiti sumber manusia bagi rakyat Namibia yang berminat dalam industri Halal dan nasihat mengenai cara menyatukan persatuan Halal yang berpecah di Namibia untuk mencapai pensijilan dan pengiktirafan JAKIM.  

Langkah ini akan membolehkan produk pertanian Namibia dieksport ke Malaysia, sekali gus meningkatkan peluang perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.  

-- BERNAMA  


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan