WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kerajaan Teliti Kajian JICA Bina Tebing Di Kawasan Pantai Atasi Masalah Banjir - Anwar

03/12/2024 01:18 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Kerajaan akan meneliti cadangan daripada hasil kajian Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) untuk membina tebing tinggi di seluruh kawasan pantai bagi mengatasi masalah banjir di seluruh negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata cadangan yang pernah dibangkitkan sekitar 20 tahun lepas itu, boleh diusahakan selepas projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negara, selesai dilaksanakan.

“Ada cadangan saya ingat lama dah 20 tahun lebih yang lepas, dicadangkan oleh Kerajaan Jepun iaitu projek JICA umpamanya untuk mengatasi masalah banjir di pantai barat (Malaysia) dan ketika itu tahun 90-an, keperluan perbelanjaan itu sudah mencecah RM10 bilion, sekarang mungkin dah RM20 bilion.

“Antara lain kajian JICA untuk bina tebing-tebing tinggi di seluruh kawasan pantai. Sudah tentu ini akan mengambil masa dan mudah-mudahan bila keadaan ekonomi yang jauh lebih kukuh, selesai masalah tebatan banjir kita,” kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) yang ingin tahu pendekatan kerajaan dalam mengatasi masalah banjir tahunan yang menelan kos ratusan juta setiap tahun.

Pada masa ini, Anwar berkata kerajaan telah memperuntukkan hampir RM15 bilion bagi projek RTB di seluruh negara sebagai ikhtiar untuk mengawal masalah banjir, selain menggunakan teknologi terkini bagi meramal cuaca untuk dimaklumkan kepada rakyat.

Bagaimanapun, beliau menyedari langkah tersebut masih tidak mencukupi dan tiada negara yang dapat mengawal keadaan cuaca biarpun mereka mempunyai teknologi terbaik termasuk China, Amerika Syarikat dan Eropah.

“Tetapi ikhtiar itu harus ada...cuma tahun ini hujan itu luar jangka, jauh lebih (banyak) iaitu (jumlah) lima hari (hujan) sama dengan enam bulan sebelumnya, jadi tertangguh hujannya, kemarau dan kemudian turun dengan banyak menyebabkan takungan dan banjir,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata di beberapa daerah di Kelantan umpamanya, bacaan hujan mencecah lebih daripada 1,167 milimeter (mm) dalam masa lima hari iaitu pada 26 hingga 30 Nov dan di beberapa daerah Terengganu pula mencatat hujan sehingga 1,761mm untuk tempoh yang sama.

Menjawab soalan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mengenai kerosakan jalan akibat banjir, Anwar berkata kerajaan menyediakan hampir RM1 bilion bantuan segera untuk mengatasi pelbagai kerosakan, dengan keutamaan bagi memperbaiki sekolah, hospital, jalan asas serta ganti rugi.

“Saya setuju dengan YB Tumpat kalau rumah itu musnah semuanya, kerajaan harus beri pertimbangan untuk bagi ganti rugi yang agak munasabah agar dia boleh bina semula, (tetapi) saya tidak boleh beri pengakuan secara spesifik...kita masih tunggu maklumat keseluruhannya secara teliti.

“Kita akan lihat keseluruhannya, tetapi saya beri jaminan, keperluan yang segera seperti makan minum dan kemudahan asas, termasuk membaiki jalan-jalan rosak itu harus diberikan keutamaan dan soal menaik taraf jalan negeri ke Persekutuan, itu tentu saya harus tunggu laporan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) untuk kita pertimbangkan semula,” kata beliau.

Menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai bantuan kepada mangsa banjir kilat, Anwar berkata kerajaan tetap akan memberi pertimbangan kepada mereka untuk menuntut ganti rugi namun ia tidak boleh disegerakan kerana terdapat proses tertentu yang perlu diikuti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan