KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP29) di ibu negara Azerbaijan mencatatkan detik bersejarah dengan pelancaran rasmi Dana Kerugian dan Kemusnahan, satu perkembangan penting dalam dasar iklim global.
Dana ini yang ditubuhkan di bawah kepengerusian Azerbaijan, telah dipuji sebagai langkah transformatif ke arah menangani kesan perubahan iklim yang tidak seimbang terhadap negara membangun, negara kepulauan kecil dan komuniti yang rentan.
Menurut kenyataan Kedutaan Azerbaijan di Malaysia, pencapaian penting ini dibina atas komitmen yang dibuat pada COP27 di Mesir dan kemajuan susulan pada COP28 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Pelaksanaan penuh dana itu pada COP29 dilihat sebagai bukti komitmen Azerbaijan untuk memperkukuh solidariti global.
"Asas penubuhan Dana Kerugian dan Kemusnahan dirangka semasa COP27 di Mesir, apabila negara mencapai persetujuan bersejarah untuk memberi pampasan kepada negara yang paling terkesan oleh bencana iklim.
"Bagaimanapun, masih wujud keraguan sama ada komitmen kewangan dan keazaman politik boleh diterjemahkan kepada tindakan nyata. COP28 di UAE menjadi titik penting, tetapi hanya COP29 di bawah kepimpinan Azerbaijan yang membolehkan dana itu beroperasi sepenuhnya," menurut kenyataan itu.
Dana ini bukan sahaja berfungsi sebagai mekanisme kewangan, tetapi juga sebagai pengiktirafan terhadap ketidaksamaan sejarah, memastikan negara maju - penyumbang terbesar pelepasan gas rumah hijau - dipertanggungjawabkan melalui pengagihan semula sumber.
Dana itu akan mula membiayai projek pada 2025, dengan fokus kepada pemulihan infrastruktur yang rosak, membantu penduduk yang dipindahkan dan meningkatkan daya tahan iklim di kawasan terdedah.
Dalam perkembangan berkaitan, kepimpinan Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev dipuji kerana memberi keutamaan kepada keperluan negara kurang membangun dan negara kepulauan kecil, mencerminkan komitmen negara itu terhadap inklusiviti dan kesaksamaan dalam tindakan iklim global.
"Dana Kerugian dan Kemusnahan adalah pengiktirafan kolektif bahawa mereka yang paling sedikit menyumbang kepada krisis iklim tidak seharusnya menanggung akibatnya sendirian," tambah kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial