WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DBKK, MCMC Jalin Kerjasama Pacu Kota Kinabalu Sebagai Bandaraya Pintar

03/12/2024 10:37 PM

KOTA KINABALU, 3 Dis (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalinkan kerjasama bagi memacu Kota Kinabalu sebagai bandaraya pintar, lestari serta maju.

Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama itu dimeterai hari ini dengan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah mewakili DBKK manakala Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din mewakili suruhanjaya itu dan disaksikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor serta Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Ketika berucap pada majlis itu, Hajiji berkata kerjasama antara DBKK dan MCMC adalah langkah besar ke arah merealisasikan visi Sabah sebagai negeri yang memacu pembangunan mampan melalui digitalisasi.

Beliau berkata melalui MoU itu, projek berskala besar akan dilaksana antaranya kesalinghubungan digital, keselamatan awam dan infrastruktur pintar seperti kamera litar tertutup serta digitalisasi pentadbiran dan perkhidmatan.

“Ia juga memberi impak kepada seluruh Sabah dengan menjadikan Kota Kinabalu sebagai hab digital dan inovasi, kita membuka peluang untuk kolaborasi dalam pelbagai sektor termasuk pelancongan, pendidikan dan perniagaan.

“Ini (akan) menarik banyak pelaburan asing, mencipta peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat. Kota Kinabalu akan menjadi model bandaraya pintar yang memperlihatkan bagaimana teknologi dapat memperkasa kehidupan rakyat dan menyokong pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

Fahmi dalam ucapannya pula berkata kerjasama itu membantu pelaksanaan bandar pintar yang komprehensif, meningkatkan infrastruktur digital, memperluas akses kepada teknologi komunikasi serta program pendidikan digital untuk membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Beliau berkata melalui MoU itu, liputan Internet akan ditambah baik di seluruh Kota Kinabalu dalam menyokong perkhidmatan digital Kerajaan Negeri Sabah dan penyediaan pelan infrastruktur komunikasi di lokasi pembangunan yang dipersetujui.

MCMC juga akan menawarkan khidmat nasihat teknikal kepada DBKK bagi aspek berkaitan infrastruktur digital, jaringan, liputan, keselamatan siber dan pencegahan penipuan dalam talian.

“MoU ini turut meneroka kerjasama berkaitan e-dagang serta latihan teknologi maklumat dan komunikasi di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) kawasan Kota Kinabalu yang menyasarkan penglibatan komuniti di kawasan NADI,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan