WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Perak Anjur 1,296 Program Jualan Rahmah Sejak 2023

04/12/2024 05:48 PM

IPOH, 4 Dis (Bernama) --  Sebanyak 1,296 Program Jualan Rahmah (PJR) dianjurkan di Perak sejak awal tahun 2023 sehingga 18 November lepas iaitu antara yang tertinggi dalam semua negeri, Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak Woo Kah Leong berkata PJR di negeri ini dilaksanakan dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk peruncit, pasar raya, pasar raya mini dan kedai runcit.

“Namun ingin juga saya fahamkan semua bahawa barangan yang dijual dalam Jualan Rahmah diberikan pengurangan harga sebanyak 10 peratus sehingga 30 peratus berbanding harga pasaran.

“Peniaga yang ingin bekerjasama dengan pihak KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) harus berkongsi kadar diskaun secara sama rata, iaitu 15 peratus ditanggung kerajaan Persekutuan dan baki 15 peratus lagi ditanggung peniaga tersebut, oleh itu, peniaga tempatan boleh menghubungi pejabat KPDN untuk bersama mengadakan Jualan Rahmah,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan Tahun 2025 dan Usul Wang Pembangunan 2025 pada Persidangan DUN Perak di sini hari ini.

Sementara itu, Woo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Bedamar berkata PJR diadakan secara adil dan kerajaan MADANI tidak pernah meminggirkan kawasan pembangkang.

Beliau membidas dakwaan pembangkang bahawa PJR hanya kerap diadakan di Parlimen kerajaan dan hanya sekali atau dua kali di kawasan Parlimen pembangkang.

“Untuk menangkis persepsi yang tidak benar dan memburukkan imej kerajaan MADANI, saya boleh bagi satu contoh yang paling baik di sini iaitu kawasan utara Perak di mana saya bandingkan antara Parlimen Taiping dan Parlimen Larut.

“Di bawah Parlimen Taiping, ada tiga DUN dimenangi kerajaan perpaduan. Tiga DUN tersebut telah menjalankan lapan kali Jualan Rahmah masing-masing dan keseluruhannya ialah 24 kali sahaja.

“Di bawah Parlimen Larut, juga ada tiga DUN dimenangi oleh blok pembangkang, tetapi DUN Selama telah menganjurkan (PJR) sebanyak sembilan kali, DUN Kubu Gajah telah menganjurkan sebanyak lapan kali, DUN Batu Kurau telah mengadakan sebanyak 11 sekali dan keseluruhannya adalah 28 kali, empat kali lebih banyak daripada Parlimen Taiping,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan