WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kandungan Lucah Guna AI Meningkat, MCMC Turunkan 1,225 Kandungan Setakat 1 Dis

04/12/2024 06:16 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Jumlah kandungan lucah yang dijana menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin meningkat saban tahun apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menurunkan 1,225 kandungan setakat 1 Dis ini berbanding 186 pada 2022.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata kandungan berunsur pendedahan seksual kanak-kanak yang diturunkan juga meningkat daripada hanya 34 kandungan pada 2022 kepada 800 pada tahun ini.

“Oleh sebab itu kita mencadangkan dalam rang undang-undang untuk meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dengan sesiapa didapati memberi komunikasi lucah bagi maksud komersial, mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi RM1 juta atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan tambahan S.Kesavan (PH-Sungai Siput) berhubung langkah penguatkuasaan dan kawal selia bagi menghalang penyebaran kandungan lucah yang menyasarkan golongan belia.

Teo berkata teknologi AI juga digunakan penipu (scammer) secara berleluasa apabila MCMC dalam tempoh 13 hari sahaja mengenal pasti 274 iklan di Facebook yang menyamar sebagai Jabatan Peguam Negara.

“Scammer ini membayar Meta untuk menipu warga Malaysia, sangat penting untuk kita pastikan bahawa platform ini dipertanggungjawabkan, mereka tidak boleh dibenarkan terima duit daripada scammer untuk tipu rakyat Malaysia,” katanya. 

Menjawab soalan asal Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) berhubung inisiatif menggalakkan pempengaruh media sosial menghasilkan kandungan positif dan bermanfaat, Teo berkata Kementerian Komunikasi sentiasa menyokong dan menggalakkan penghasilan kandungan bermanfaat di platform digital.

Beliau berkata antara program yang dilaksanakan ialah penganjuran kursus dan seminar oleh Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) seperti Kursus “Effective Content Creator on TikTok” pada 26 dan 27 Sept lepas. 

“Kursus ini bertujuan untuk memperkasakan peranan pencipta kandungan dalam menghasilkan kandungan yang mendidik, memberi inspirasi dan impak positif kepada masyarakat,” katanya. 

Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) juga berkolaborasi dengan pelbagai pihak bagi memastikan usaha kesedaran dan pendidikan ini lebih meluas antaranya program Creators IRL yang dilancarkan pada 8 Ogos yang bertujuan menangani isu keselamatan dalam talian dan penipuan, katanya.

“Program Creators IRL turut menyediakan geran sokongan berjumlah RM80,000 untuk 10 pencipta kandungan terpilih bagi membolehkan penghasilan kandungan berimpak tinggi yang dapat memacu perubahan terhadap isu keselamatan dalam talian,” katanya. 

Selain itu, katanya menerusi Belanjawan 2025, Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) menerima peruntukan RM30 juta bagi melaksanakan Program Belia Kreatif Komuniti MADANI untuk golongan belia meningkatkan kualiti penerbitan kandungan kreatif khususnya bidang perfileman.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan