PUTRAJAYA, 5 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa kesal dengan kelewatan pelaksanaan dua inisiatif digital negara iaitu MyDigital ID dan rangkaian 5G kedua.
Beliau berkata pelaksanaan MyDigital ID terlambat selama setahun manakala rangkaian 5G kedua masih tertangguh kerana rundingan untuk projek itu tidak mendapat respons positif daripada Digital Nasional Bhd (DNB) dan syarikat telekomunikasi.
"Ini menyebabkan saya agak hilang kesabaran," katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Warga Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Anwar berkata beliau telah menyuarakan kekesalan berhubung perkara itu ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN), semalam.
Beliau berkata kelewatan kedua-dua projek itu disifatkan sebagai cuai dan menjejaskan kemajuan negara dalam merealisasikan agenda transformasi digital.
"Kerja itu yang saya anggap cuai, lambat kerana bagi saya bagaimana digital kita nak bawa kepada AI (kecerdasan buatan), padahal perkara asas yang patut kita bina dalam negara belum kita siapkan," katanya.
Anwar berkata pelaksanaan kedua-dua projek itu adalah penting dan perlu disegerakan kerana negara akan mempengerusikan ASEAN tahun hadapan, yang antara lain memfokuskan kepada agenda Grid Tenaga ASEAN, rangkaian digital dan teknologi makanan.
"Jadi, kita kena bangkit sebagai negara yang punya keupayaan dan menjadi contoh. Saya fikir masa dua tahun itu masa yang cukup untuk mempersiapkan semua ini," katanya.
Namun, Perdana Menteri memohon maaf atas keterlanjuran beliau yang telah memarahi secara keterlaluan dalam menegur perkara itu pada mesyuarat MED4IRN semalam.
"(Ia) menunjukkan saya juga manusia biasa yang ada kekurangan. Harapan (saya) tinggi dan menggunung. Jadi bila tidak kesampaian, itu yang lahirkan (kemarahan). Saya yakin saya terlanjur dalam kemarahan saya… saya harap boleh terima baik (permohonan) maaf saya ini," katanya.
MyDigital ID ialah satu inisiatif kerajaan bagi pengesahan identiti secara selamat dan sah untuk pengguna dalam talian yang dibangunkan sejak 2016.
Rangkaian 5G kedua pula merujuk kepada infrastruktur 5G tambahan yang melengkapi model Rangkaian Borong Tunggal (SWN) sedia ada disediakan oleh DNB.
Ia disediakan bertujuan merapatkan jurang digital dan memacu infrastruktur digital yang lebih baik, jangkauan lebih luas, terutama di kawasan kurang mendapat perkhidmatan di luar bandar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial