KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Seorang wanita tempatan ditahan Sabtu lepas bagi membantu siasatan kes mengasari dan mendera bayi lelaki berusia 11 bulan di sebuah taska di Puncak Alam, Selangor.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata wanita berusia 24 tahun yang bekerja sebagai guru taska itu ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh pada 6.50 petang.
“Sabtu lepas, polis menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berhubung terdapat kesan lebam pada pipi dan telinga sebelah kanan anaknya selepas mengambil bayi tersebut daripada sebuah taska pada 6.15 petang, 13 Dis lalu.
“Lelaki tersebut dimaklumkan oleh pengasuh taska bahawa kesan lebam itu berpunca akibat anaknya terjatuh daripada meja di dalam taska,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Hafiz berkata lelaki terbabit kemudiannya membuat laporan polis selepas menerima panggilan daripada penyelia taska pada Sabtu yang memaklumkan kesan lebam berkenaan berpunca daripada perbuatan pekerjanya dan bayi itu dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata pihaknya turut memperoleh rakaman kamera litar tertutup yang memaparkan perbuatan wanita terbabit yang bekerja di taska berkenaan sejak tiga tahun lepas dan setakat ini empat individu dirakam keterangan.
Suspek direman sehingga 18 Dis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial