WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Mangsa Banjir Tidak Perlu Ganti Lesen, Geran Hilang Atau Rosak - JPJ

06/12/2024 02:13 PM

ALOR GAJAH, 6 Dis (Bernama) -- Mangsa terjejas banjir yang mengalami masalah geran kenderaan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) hilang atau rosak tidak perlu membuat penggantian dokumen berkenaan, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli.

Beliau berkata semua dokumen terbabit boleh diakses dalam aplikasi MyJPJ selaras dengan peralihan perkhidmatan JPJ ke arah pendigitalan sepenuhnya pada masa hadapan. 

"Rakyat terkesan bencana banjir tidak perlu risau sekiranya lesen LKM, geran atau dokumen kenderaan hilang atau rosak kerana maklumat mengenainya terdapat dalam aplikasi MyJPJ. Pengguna boleh gunakannya manakala pihak berkuasa pula boleh mengakses melaluinya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Cawangan JPJ Masjid Tanah di Bangunan Tabung Haji yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pembukaan cawangan baharu JPJ Masjid Tanah membantu mengurangkan antara 10 hingga 20 peratus kesesakan pelanggan yang berurusan di JPJ Bukit Katil sekali gus memberikan akses lebih mudah kepada penduduk sekitar Alor Gajah dan Masjid Tanah.

Beliau berkata sebelum ini pihaknya telah menempatkan JPJ Mobile di kawasan sama untuk menawarkan perkhidmatan kepada penduduk selama setahun sebagai tempoh percubaan bermula 23 Oktober tahun lepas.

Aedy Fadly berkata dalam tempoh berkenaan, hampir 10,000 pelanggan direkodkan berurusan di JPJ Mobile dengan hasil kutipan lebih RM2.5 juta melibatkan 26,338 transaksi.

Sebelum ini, JPJ Mobile hanya menawarkan lima perkhidmatan iaitu pembaharuan lesen memandu, lesen vokasional, pendaftaran MyJPJ dan eID, semakan atau pembayaran saman JPJ serta pemeriksaan motosikal bagi cukai jalan tamat tempoh lebih tiga tahun.

Namun, menerusi cawangan baharu itu sebanyak 24 perkhidmatan disediakan.

Beliau berkata kos ubah suai pejabat cawangan JPJ Masjid Tanah berjumlah RM200,000 dibiayai Pejabat Pembangunan Negeri Melaka dan projek itu mula dilaksanakan pada 14 Ogos tahun ini dan siap sepenuhnya 28 Oktober.  

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan