WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pekan Papan Layak Diangkat Tapak Warisan Dunia UNESCO

06/12/2024 09:08 PM

BATU GAJAH, 6 Dis (Bernama) -- Pekan Papan di sini yang kaya dengan nilai sejarah layak diangkat sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Ahli Lembaga Eksekutif Majlis Antarabangsa untuk Monumen dan Tapak Warisan (ICOMOS) Malaysia Dr Goh Ai Tee berkata pekan itu, mempunyai nilai warisan yang signifikan manakala bangunan lama di Papan masih utuh dan mempunyai keunikan seni bina tersendiri.

Papan yang wujud lebih seabad lepas, pernah pesat membangun semasa kegemilangan perlombongan bijih timah dan antara bandar tertua di Lembah Kinta tetapi selepas kemerosotan industri itu, pekan berkenaan yang berkeluasan 28.7 hektar bertukar sepi sehingga menerima julukan pekan berhantu.

“Bagi kami (ICOMOS), Papan antara kampung baru di sebuah pekan lama yang diwakili dengan baik dan pada masa yang sama, keaslian tempat ini masih terpelihara. Industri perlombongan bijih timah merosot pada 1970-an hingga 1980-an dan pekan ini khususnya tidak mengalami pembangunan dalam tempoh 50 tahun lepas.

“Usaha bagi menyiapkan dokumentasi pekan Papan bagi mendapat pengiktirafan UNESCO telah dilakukan sejak tiga tahun lepas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau pekan berkenaan di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Naratif dan Kurator Imperial War Museums (IWM) Carl Warner berkata kisah rakyat Malaysia semasa era darurat di negara ini akan dipamerkan dalam sebuah pameran yang dinamakan ‘Emergency Exits’ di IWM, London.

“Kami telah merancang pameran ini selama beberapa tahun. Pameran berkenaan dijangka berlangsung pada Oktober tahun depan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan