WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA-THAILAND SASAR PERKUKUH KERJASAMA EKONOMI DALAM PELBAGAI INDUSTRI

16/12/2024 08:30 PM

PUTRAJAYA, 16 Dis (Bernama) -- Malaysia dan Thailand bersetuju untuk memperkukuh kerjasama ekonomi merangkumi industri getah, pelancongan, Halal dan digital, grid tenaga dan bekalan gas serta pengurusan sempadan.

Menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra menggalakkan pihak berkuasa berkaitan kedua-dua negara untuk meneroka kerjasama yang lebih kukuh melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Digital Economy Promotion Agency of Thailand dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia pada 2023.

Ini, kata mereka, bertujuan mewujudkan persekitaran kondusif yang dapat menarik pelabur budiman untuk menyokong syarikat teknologi berpotensi di kedua-dua negara.

Kedua-dua Perdana Menteri juga mengalu-alukan perbincangan lanjut oleh para pegawai dari kedua-dua negara mengenai skim ‘Enam Negara, Satu Destinasi’ yang dicadangkan oleh Thailand.

"Sehubungan itu, kedua-dua negara bersetuju menimbang potensi kempen bersama untuk mempromosikan secara bersama inisiatif 'Visit Malaysia 2026' dan 'Amazing Thailand Grand Tourism Year 2025'," katanya.

Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk membangunkan industri saling melengkapi yang lebih meluas di kedua-dua negara, memandangkan ekonomi Halal global diunjur mencecah US$5 trilion menjelang 2030.

“Ini termasuk meneruskan aktiviti penggalakkan eksport bersama bagi barangan dan perkhidmatan Halal; pertukaran amalan terbaik dan pengetahuan perniagaan; penyelidikan dan pembangunan produk Halal serta kerjasama yang lebih aktif melibatkan sektor awam dan swasta Malaysia dan Thailand.

"Malaysia juga bersedia menyokong pegawai Thai dalam membangunkan ekosistem Halal tempatan dengan menawarkan kursus di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia.

"Inisiatif ini akan memberi peluang kepada Thailand untuk mendapatkan pandangan tentang piawaian dan amalan Halal sambil membantu mengukuhkan sektor Halalnya," kata kenyataan itu.

Kedua-dua pemimpin juga memuji kemajuan projek pembangunan infrastruktur rentas sempadan yang bertujuan untuk menggalakkan kesalinghubungan antara kedua-dua negara, dan menyeru agensi berkaitan dari Malaysia dan Thailand untuk memastikan projek tersebut disiapkan tepat pada masanya.

“Kedua-dua pihak menyedari akan kepentingan pusat pemeriksaan Bukit Kayu Hitam-Sadao sebagai pintu masuk ekonomi, pelancongan dan pengangkutan paling sibuk dan terbesar antara Malaysia dan Thailand.

“Justeru, kedua-dua Perdana Menteri menyeru agensi berkaitan untuk mempercepat kemajuan pembinaan jalan yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao," demikian menurut kenyataan itu.

Selain itu mereka juga menggalakkan pihak berkuasa untuk menyegerakan kerjasama bagi menghubungkan Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) antara Malaysia dan Thailand, khususnya SBEZ Bukit Kayu Hitam di Kedah; Kawasan Perindustrian Lembah Chuping di Perlis; Taman Halal Pasir Mas di Kelantan dan Zon Ekonomi Khas (SEZ) di Kawasan Perindustrian Selatan di Songkhla dan SEZ di Narathiwat.

"Kedua-dua Perdana Menteri berpuas hati dengan kerjasama berterusan melalui Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA), yang terus menjamin bekalan jualan gas yang kukuh ke Malaysia dan Thailand serta memberi impak positif kepada mata pencarian rakyat melalui peluang pekerjaan dan merangsang ekonomi tempatan.

"Thailand juga merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas sokongan semasa berlakunya kekurangan bekalan gas pada 2023, yang membantu memastikan jaminan tenaga Thailand," kata kenyataan itu.

Di samping itu, kedua-dua Perdana Menteri juga menyatakan sokongan mereka terhadap kerjasama dan inisiatif tenaga sedia ada, yang menjadi teras kepada visi bersama tentang masa depan tenaga yang lebih bersepadu, mampan dan selamat untuk rantau ini, termasuk di bawah Inisiatif Grid Kuasa ASEAN.

Untuk menggalakkan hubungan yang lebih erat serta meningkatkan aliran rentas sempadan barangan dan penumpang antara Malaysia dan Thailand, serta keseluruhan wilayah, agensi berkaitan diminta untuk mempercepat kemajuan cadangan projek sambungan rel dua landasan bersepadu antara Ipoh.-Padang Besar dan Padang Besar-Hat Yai, dan jajaran kereta api berkelajuan tinggi di kedua-dua negara.

"Kedua-dua Perdana Menteri juga bersetuju usaha memudahkan pergerakan barang dan penumpang menggunakan jalan raya dan kereta api penting untuk meningkatkan jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Thailand serta mencapai integrasi serantau ASEAN.

 "Sehubungan itu, mereka menggesa agensi berkaitan di kedua-dua pihak menyegerakan rundingan MOU mengenai pengangkutan barangan dan penumpang rentas sempadan," kata kenyataan itu.

Pada masa yang sama, kedua-dua pihak bersetuju untuk memudahkan keperluan permit bagi barangan berasaskan tumbuhan yang transit melalui Thailand menerusi perkhidmatan tren kargo ASEAN Express antara Malaysia dan China.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan