WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pengerusi ASEAN 2025: Malaysia Utama Kerjasama Ekonomi, Pembangunan Lestari - PM Anwar

06/12/2024 10:55 PM

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sepanjang tempoh Kepengerusian ASEAN 2025, Malaysia akan memberi keutamaan dalam perkara seperti melonjakkan perdagangan dan pelaburan antara ASEAN dan ekonomi lain.

Beliau berkata sepanjang tempoh berkenaan, Malaysia juga akan turut memperluas kerjasama ekonomi ASEAN dan menggalakkan pertumbuhan serta pembangunan yang lebih terangkum dan lestari.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian menerusi hantaran di laman X selepas menerima kunjungan hormat Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) Dr Ngozi Okonjo-Iweala hari ini.

Turut hadir dalam pertemuan itu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Sementara itu, Anwar turut menegaskan semula pendirian Malaysia yang menyokong sistem perdagangan pelbagai hala yang adil dan saksama terutama bagi negara-negara sedang membangun.

“Ini penting bagi memastikan WTO kekal relevan dalam situasi geopolitik semasa terutamanya bagi menangani mekanisme unilateral,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata keahlian Malaysia dalam WTO yang mengutamakan prinsip ketelusan dan menolak diskriminasi turut menyumbang dalam peningkatan keyakinan dan pelaburan langsung asing negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan