PUTRAJAYA, 12 Dis (Bernama) --- Kabinet secara prinsip bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi bagi merangka model kerjasama perikanan laut dalam antara Malaysia dan Vietnam, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata keputusan ini adalah susulan perjumpaan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, To Lam, ketika lawatan beliau ke Malaysia pada November lepas. Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk meneroka kerjasama dalam industri perikanan dan maritim.
“Kabinet baru-baru ini telah membincangkan perkara ini hasil daripada idea kedua-dua pemimpin tersebut. Setelah itu, kami secara dasar bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Kabinet yang turut melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, serta agensi-agensi lain,” katanya.
Menurut Saifuddin, secara prinsipnya, kerjasama ini bertujuan mencari kaedah model terbaik untuk membolehkan kedua-dua negara berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam teknologi tangkapan ikan laut dalam. Selain itu, kedua-dua pihak juga akan menjalankan operasi bersama bagi memastikan keuntungan dapat dinikmati oleh kedua-dua negara.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KDN di sini hari ini, yang turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha KDN Datuk Awang Alik Jeman.
Saifuddin Nasution turut menyentuh mengenai model kerjasama perikanan antara Maghribi dan Kesatuan Eropah (EU), di mana Sepanyol sebagai negara EU kini memperoleh hasil laut dari kawasan perairan milik Maghribi, mencipta model kerjasama yang memberi manfaat dan keuntungan kepada semua pihak.
Beliau juga meminta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk terus memperkukuhkan kompetensi anggotanya, memperbaiki keupayaan aset, dan meningkatkan jaringan antarabangsa bagi melindungi keselamatan dan kedaulatan sempadan laut negara.
Maritim Malaysia, yang mengawal hampir 590,000 kilometer persegi perairan, menghadapi ancaman seperti penyeludupan, pendatang tanpa izin, dan pencerobohan kapal asing.
“...kerana sifat tugasnya yang begitu kompleks, Maritim Malaysia yang memiliki 5,400 anggota perlu sentiasa meningkatkan kompetensi mereka. Selain itu, mereka juga harus terus menjalin hubungan dan jaringan kerja dengan agensi seumpama dari negara luar, yang kini telah berjalan dengan baik.
“Untuk mengawal sempadan ini, perlu ada kerjasama dalam aspek pembangunan kapasiti dan perkongsian maklumat risikan,” katanya.
Dengan langkah yang diambil untuk meningkatkan keupayaan dan kerjasama antarabangsa, beliau berharap Malaysia dapat mengurangkan ancaman terhadap kedaulatan perairannya dan memanfaatkan hasil laut dengan lebih berkesan.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membantu Maritim Malaysia dalam meningkatkan keupayaan aset, termasuk memantau kemajuan pembinaan dua lagi Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) yang dijangka diterima dalam tempoh kurang dua tahun.
Pada April lepas, Saifuddin Nasution dilaporkan berkata anggaran tempoh tersebut mengambil kira perkembangan semasa (April) pembinaan OPV 2 yang sudah 75 peratus siap, manakala OPV 3 lebih daripada 50 peratus.
Untuk rekod, OPV 1 KM (Kapal Maritim) kini ditempatkan di Sarawak bagi menangani isu keselamatan sempadan perairan negara selain berfungsi sebagai mothership kepada bot peronda Maritim Malaysia yang bertanggungjawab menjalankan rondaan dan pemantauan di kawasan tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial