WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LIAM TAWAR INISIATIF BANTU PEMEGANG POLISI TERJEJAS BANJIR

13/12/2024 05:09 PM

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Syarikat ahli Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) melancarkan pelbagai inisiatif untuk membantu pemegang polisi yang terjejas dengan banjir baru-baru ini.

Antara inisiatif itu ialah memberikan lanjutan masa tambahan beberapa bulan untuk pembayaran premium dan menyusun semula mod pembayaran premium daripada tahunan kepada bulanan.

Selain itu, LIAM turut menawarkan tempoh tangguh lanjutan untuk pembayaran premium, melebihi 30 hari seperti kelaziman, dan mengetepikan atau mengurangkan caj faedah terhadap pinjaman polisi serta polisi di bawah kemudahan Automatic Premium Loan (APL), termasuk pengecualian kos untuk penggantian polisi insurans atau kad perubatan yang hilang atau rosak.

Presiden LIAM Raymond Lew dalam kenyataan hari ini berkata syarikat ahli persatuan itu komited sepenuhnya untuk memberikan sokongan penting pada waktu mencabar ini, membantu memulihkan ketenangan diri dan memastikan keperluan insurans dapat dipenuhi.

"Kami menggalakkan semua pemegang polisi yang terkesan supaya menghubungi penyedia insurans nyawa masing-masing untuk maklumat lanjut mengenai langkah-langkah bantuan yang disediakan dalam situasi sukar ini.

"Sebagai sebuah industri, kami menyedari tanggungjawab untuk melangkah ke hadapan pada masa krisis. Bencana ini telah memberi kesan mendalam kepada keluarga, perniagaan dan kesejahteraan ramai.

"Dengan menawarkan bantuan yang tepat pada masanya, kita dapat meringankan beban mangsa dan memberikan pertolongan yang diperlukan sepanjang tempoh pemulihan ini," katanya.

Lew berkata pihaknya juga menyampaikan rasa simpati kepada mangsa banjir yang mengalami kerosakan harta benda termasuk kediaman selain pendapatan turut terjejas. 

Memandangkan setiap kes dan tuntutan mungkin berbeza, pemegang polisi yang terlibat dan tidak pasti mengenai perlindungan mereka, digalakkan menghubungi syarikat insurans masing-masing untuk maklumat dan penjelasan lanjut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan