WILAYAH - SARAWAK > BERITA

YUSOFF RAWTHER AKAN KEMUKA REPRESENTASI GUGUR TUDUHAN EDAR DADAH, MILIKI SENJATA TIRUAN

13/12/2024 05:37 PM

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Bekas pembantu penyelidik seorang ahli politik Muhammed Yusoff Rawther akan mengemukakan representasi kepada Peguam Negara (AG) bagi mengugurkan pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram dan memiliki dua pucuk pistol tiruan yang dihadapinya.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammed Yusoff, 31, berkata representasi itu akan difailkan pihaknya dalam tempoh terdekat selepas meneliti dokumen-dokumen yang diperoleh daripada pihak pendakwaan.

"Bagi kedua-dua kes ini (dadah dan senjata tiruan) kita mohon untuk digugurkan terus dan tidak diteruskan langsung... DNA (lepas dan bebas) bukan DNAA (lepas tanpa bebas)," kata peguam itu ketika ditemui media selepas sebutan kes di Mahkamah Majistret, hari ini.

Terdahulu Majistret M. S Arunjothy membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman bagi memindahkan kes senjata tiruan yang dihadapi Muhammed Yusoff ke Mahkamah Tinggi di sini untuk dibicarakan bersama kes dadah.

Sementara itu ketika sebutan kes di Mahkamah Tinggi, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan 7 Jan depan untuk pengurusan kes dadah yang dihadapi Muhammed Yusoff.

Muhammed Yusoff didakwa memiliki dua pucuk pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini pada pukul 9.25 pagi, 6 Sept lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram, dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada pukul 10.15 pagi, 6 Sept lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 12 sebatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan