WILAYAH - SARAWAK > BERITA

CADANGAN UNITED KINGDOM, HUNGARY, FILIPINA DIUMUMKAN TIGA PEMENANG UTAMA ‘GO GREEN WITH TAIWAN’

13/12/2024 08:51 PM

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- United Kingdom, Hungary dan Filipina diumumkan sebagai tiga pemenang utama projek ‘Go Green with Taiwan’ oleh Pentadbiran Perdagangan Antarabangsa Taiwan (TITA) dan Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan (TAITRA) hari ini.

Taiwan Excellence dalam kenyataan memaklumkan setiap pemenang utama akan menerima hadiah US$20,000 (kira-kira RM89,000)

Cadangan yang dimenangi oleh United Kingdom ialah Fesyen Digital: Mengubah Fesyen untuk Masa Depan Lestari; Hungary - Penyiasatan Aplikasi Penyejukan Penyejatan Menggunakan Bahan Berliang (row ceramics) dan Filipina - Penyelesaian 'Manis'' kepada Krisis Plastik: Cadangan Alternatif Berasaskan Tebu Boleh Kompos.

 Menurut kenyataan itu, lima bulan selepas pelancaran ‘Go Green with Taiwan’ dan selepas menerima sejumlah 396 cadangan daripada 45 negara dari seluruh dunia, kini tiba saat yang ditunggu-tunggu. 

"Pada 9 Dis, 2024, lima finalis yang ditaja sepenuhnya berangkat ke Taiwan dan mereka telah membentangkan cadangan dan meyakinkan panel terdiri daripada pakar dan hakim berkelayakan daripada Taiwan bahawa cadangan mereka boleh dan akan membantu mengubah cara hidup serta mewujudkan kehidupan yang lebih baik serta lebih mesra alam, bukan sahaja untuk manusia malah untuk persekitaran. 

"Selepas melalui proses perbincangan yang menyeluruh, tiga cadangan terbaik itu diumumkan sebagai pemenang pada 11 Dis, 2024," menurut kenyataan tersebut.

Dalam kenyataan sama, Ketua Pengarah TITA di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Taiwan Cynthia Kiang menegaskan bahawa menerusi inisiatif itu pihaknya dapat menonjolkan kreativiti pencadang di seluruh dunia dengan menggabungkan produk dan penyelesaian mesra alam Taiwan.

"Sasaran kami ialah mempromosikan industri hijau lestari Taiwan dan memupuk kerjasama antarabangsa untuk pembangunan mampan global," katanya.

 Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TAITRA Simon Wang berkata 396 cadangan dihantar dan kebarangkalian untuk dipilih sebagai enam finalis hanya 1.5 peratus.

"Setiap cadangan mempunyai inovasi tersendiri. Menerusi acara ini, rakan sekutu antarabangsa telah membantu dalam mempromosikan projek berkenaan, dengan matlamat kolektif bekerjasama untuk melindungi satu-satunya planet kita," kata Wang.

Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi Kehormat Kumpulan Acer dan Duta Kehormat Kempen Go Green with Taiwan Stan Shih menekankan bahawa inisiatif ini akan mewujudkan impak signifikan secara global dengan menarik perhatian masyarakat antarabangsa dan menggalakkan penglibatan kolaboratif.

"Ia menjadi platform untuk menonjolkan teknologi hijau termoden Taiwan dan penyelesaian mampan inovatif pada pentas global," kata Shih.

Wakil juri, Ketua Setiausaha Institut Tenaga Lestari Taiwan Li-Fang Chou menzahirkan kekaguman beliau dengan kepelbagaian cadangan yang dikumpul dari seluruh dunia, menyatakan bahawa kempen ini akan, tanpa diragui lagi, membuka banyak peluang bagi kerjasama antarabangsa dalam bidang persekitaran.

Go Green with Taiwan muncul sebagai kempen cadangan global rintis yang mengundang minda-minda kreatif di seluruh dunia untuk membangunkan penyelesaian bermakna dan inovatif bagi masa depan lestari, yang telah mengumpulkan 396 cadangan dari 45 negara termasuk Jerman, Perancis, Brazil dan Asia Barat sekali gus melambangkan komitmen Taiwan kepada usaha sama teknologi dan kelestarian persekitaran.

Dengan menggalakkan penyertaan daripada individu, institusi sosial dan organisasi bukan kerajaan, kempen berkenaan bertujuan mengetengahkan kemajuan teknologi pencetus perubahan Taiwan dan mempromosikan usaha kolaboratif untuk menangani cabaran global.

Pertandingan komprehensif ini menyasarkan untuk mengangkat produk dan penyelesaian Taiwan bagi mencipta penambahbaikan yang ketara, menunjukkan potensi negara itu dalam memacu perubahan global yang bermakna.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan