KOTA BHARU, 15 Dis (Bernama) -- Pencarian kanak-kanak lelaki yang hilang selepas terjatuh di Pantai Kandis, Bachok berakhir apabila mayatnya ditemukan 11.15 pagi ini, kira-kira enam kilometer dari tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Bachok Supt Mohamad Ismail Jamaluddin berkata mayat Muhammad Naufal Arsyad Muhammad Aiman Hafiz, 8, ditemukan orang awam di pesisir Pantai Pok, Pulau Kambing, Bachok dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk tindakan lanjut.
"Orang ramai diminta berhati-hati ketika ke pantai dan patuh kepada arahan pihak berkuasa terutama ketika musim tengkujuh sekarang ini," katanya ketika dihubungi hari ini.
Media melaporkan Muhammad Naufal Arsyad dari Kampung Cabang Tiga Pohon Nenasi, Beris Lalang, Bachok dikhuatiri lemas selepas tejatuh ketika bersiar-siar di Pantai Kandis bersama ahli keluarganya dalam kejadian 6.50 petang semalam.
Sementara itu Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata Operasi Carilamat yang berlangsung selama dua hari itu meliputi kawasan pencarian seluas 12 batu nautika persegi.
Beliau berkata empat bot penyelamat milik Maritim Malaysia Kelantan, Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) digunakan dalam operasi berkenaan yang turut dibantu agensi seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial