WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LELAKI DITAHAN KURANG EMPAT JAM SELEPAS SAMUN FARMASI

15/12/2024 06:50 PM

IPOH, 15 Dis (Bernama) -- Tidak sampai empat jam selepas menerima laporan berkaitan kes samun bersenjata di sebuah farmasi di Taiping, malam tadi, polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan disyaki terbabit kejadian itu, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohamad Nasir Ismail berkata suspek berusia 20 tahun itu ditahan bersama pisau yang dipercayai digunakan dalam kes berkenaan dan baki wang tunai hasil samun.

Beliau berkata sebelum itu pihaknya telah menerima laporan mengenai kejadian samun terhadap seorang wanita yang bekerja sebagai pembantu farmasi pada 10.27 malam tadi.

"Semasa kejadian, wanita berusia 28 tahun itu diacu pisau dan dipaksa mengeluarkan wang tunai di dalam mesin kaunter. Akibat ketakutan, mangsa menyerahkan wang tunai kira-kira RM300 kepada suspek.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis berjaya menahan suspek dalam tempoh kurang empat jam selepas laporan diterima," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Nasir berkata lelaki itu yang mempunyai dua rekod jenayah lampau kini direman hingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan