WILAYAH - SARAWAK > BERITA

69 PENDATANG ASING DITAHAN DALAM PERHIMPUNAN PRA-KRISMAS DI NILAI

15/12/2024 09:27 PM

SEREMBAN, 15 Dis (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) Negeri Sembilan menahan 69 pendatang asing warga Myanmar yang menghadiri perhimpunan sambutan pra-Krismas di sebuah hotel dua bintang di Bandar Nilai, semalam.

Pengarahnya Kennith Tan Ai Kiang berkata mereka terdiri daripada 55 lelaki dan 14 wanita berusia antara 20 hingga 46 tahun termasuk empat individu dipercayai dalang utama perhimpunan terbabit.

"Mereka antara 253 warga asing yang diperiksa dalam operasi hampir tiga jam bermula 10 malam, yang dijalankan dengan kerjasama Polis Kontinjen Negeri Sembilan.

"Antara pengisian perhimpunan itu ialah ceramah dan meraikan sambutan pra-Krismas. Kebanyakannya bekerja di sekitar Bandar Nilai dengan ada dalam kalangan mereka datang ke hotel itu dengan bas sewa khas dari Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Klang,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata semasa serbuan, warga asing berkenaan cuba meloloskan diri namun tidak berjaya kerana kesemua pintu telah dikepung oleh pasukan operasi.

Tan berkata antara kesalahan dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa di negara ini dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Beliau berkata kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng di sini untuk siasatan lanjut.

Operasi berkenaan, katanya dilaksanakan berdasarkan aduan dan maklumat orang awam serta tindakan risikan oleh JIM Negeri Sembilan selama seminggu berdasarkan risalah yang diedarkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan