BACHOK, 15 Dis (Bernama) -- Pertandingan sukan luncur ombak yang pertama kali diadakan di Pantai Impian Kemasin di sini, yang bermula semalam dan berakhir hari ini, akan dijadikan sebagai acara tahunan setiap kali musim tengkujuh di Kelantan.
Penganjur Kemasin Surf Competition Volume 1 Fazreen Haiqal Azmi berkata sukan air ekstrem itu telah mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan orang muda dan menarik kehadiran lebih 2,000 pengunjung.
"Peserta yang mengambil bahagian bukan sahaja dari Kelantan... ada yang datang dari Sabah, Johor, Pahang, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur malah turut disertai peluncur ombak dari Portugal.
"Kebanyakan peserta menanam minat terhadap sukan luncur ombak ini menerusi pendedahan aktiviti di Cherating, Pahang yang sudah lama diadakan sejak tahun 1980-an," katanya kepada Bernama hari ini.
Setiausaha Persatuan Luncur Ombak Kelantan itu berkata tiga kategori telah dipertandingkan iaitu short board, long board, body board dan grommet (kanak-kanak bawah 16 tahun) yang dinilai dalam tempoh 15 minit bagi setiap sesi (hit).
Fazreen Haiqal berkata usia peserta adalah dalam lingkungan 10 hingga 48 tahun dan penganjurannya adalah bagi memenuhi permintaan penggemar sukan itu yang diluluskan menerusi Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan.
"Biarpun banyak pantai boleh dijadikan lokasi sukan luncur ombak namun Pantai Impian Kemasin di Bachok adalah paling sesuai disebabkan faktor terdapat benteng pemecah ombak selain kedudukan strategiknya yang berhadapan dengan Laut China Selatan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial