WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MOU GETAH ANTARA MALAYSIA, THAILAND AKAN TUMPU PADA PENGELUARAN MAMPAN -- JOHARI

16/12/2024 07:12 PM

BANGI, 16 Dis (Bernama) -- Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai getah antara Malaysia dan Thailand akan menumpukan kepada pengeluaran getah yang mampan, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata ketika ini Malaysia mengimport getah asli dan produk getah bernilai US$950 juta (RM4.4 bilion)  dari Thailand setiap tahun manakala mengeksport hanya US$105 juta ke negara jiran itu.

"Jadi banyak produk getah ini kita import, tetapi kita re-export (eksport balik) ke luar negara. 

"Jadi itulah sebabnya kedua-dua negara ini mesti ada (memastikan) kemampanan untuk mendapat manfaat (daripada hubungan perdagangan ini)," katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Cemerlang Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) 2024, di sini, hari ini. 

Selain itu, kata Johari, Malaysia juga sedang berusaha untuk memulihkan kira-kira 420,000 hektar tanah terbiar untuk meningkatkan pengeluaran getah domestik.

“Kita sedang berbincang dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan agensi kerajaan lain untuk menangani isu ini dengan berkesan,” katanya.

Terdahulu, Malaysia dan Thailand menyatakan komitmen untuk mengukuhkan pelaburan dan perdagangan dua hala melalui Pasukan Petugas Bersama Perdagangan dan Pelaburan, dengan sasaran US$30 bilion (RM133.58 bilion) menjelang 2027.

Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra semasa lawatan rasmi beliau ke Malaysia dari 15-16 Dis, menyaksikan pertukaran MoU mengenai getah antara Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia Datuk Dr Zairossani Mohd Nor dan Pemangku Gabenor Pihak Berkuasa Getah Thailand Sukatus Tarngwiriyakul.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan