WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERDANA PETROLEUM PEROLEH KONTRAK SEWAAN KAPAL DARIPADA IPC MALAYSIA

16/12/2024 07:21 PM

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Perdana Nautika Sdn Bhd (Perdana Nautika) anak syarikat milik penuh Perdana Petroleum Bhd (Perdana Petroleum) menerima kontrak sewaan kapal daripada IPC Malaysia BV (IPC Malaysia) bagi penyewaan satu unit kapal bekalan tunda pengendalian sauh (AHTS).

Kapal itu akan digunakan untuk memenuhi kontrak sewaan kapal operasi pengeluaran dengan Petronas Carigali Sdn Bhd (Petronas Carigali).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat minyak dan gas itu berkata, kontrak tersebut yang akan bermula pada tarikh sijil sewaan kapal iaitu bagi tempoh tiga tahun dengan pilihan lanjutan tiga tahun daripada tarikh permulaan sewaan.

"Anggaran nilai kontrak tidak dapat ditentukan pada ketika ini, kerana ia berbeza-beza berdasarkan lokasi di mana kapal itu ditetapkan sepanjang tempoh kontrak.

"Perdana Nautika akan menyediakan satu unit kapal AHTS beserta kakitangan dan peralatan untuk menjalankan perkhidmatan berterusan selama 24 jam bagi tujuan membantu dan khidmat penggerudian pelantar, pemasangan luar pesisir, tongkang derik, penundaan dan kerja-kerja berlabuh," katanya.

Perdana Petroleum berkata kontrak itu dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025 hingga 2028.

"Kontrak tidak akan memberi kesan terhadap modal saham dan struktur pegangan saham Perdana Petroleum," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan