KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Langkah Malaysia menubuhkan Pejabat Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan (NAIO) dilihat mampu mempercepat penggunaan fungsi AI dalam usaha mengukuhkan ekonomi digital.
Dekan Fakulti AI Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Madya Prof Dr Mohd Naz’ri Mahrin berkata NAIO dapat menyokong pertumbuhan syarikat pemula niaga AI selain menggalakkan pelaburan asing, sekali gus menyumbang kepada ekosistem digital yang dinamik dan mantap.
Pada masa sama, katanya, NAIO membolehkan analisis data raya dimanfaatkan untuk mengenal pasti trend ekonomi, mengoptimumkan peruntukan sumber dan mewujudkan dasar dipacu data yang memberi manfaat kepada perniagaan serta rakyat.
"Ini dapat memudahcara pelaksanaan mekanisme dan platform berteraskan AI untuk memperkemas proses dalam pentadbiran awam, mengurangkan ketidakberkesanan selain meningkatkan penyampaian perkhidmatan," katanya kepada Bernama.
Minggu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan NAIO yang bertujuan meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam teknologi dan aplikasi AI selain berperanan sebagai pusat dalam memperjuangkan agenda AI Malaysia.
Menjelaskan selanjutnya, Mohd Naz’ri berkata langkah memanfaatkan AI bagi transformasi digital itu akan menyaksikan NAIO berperanan penting dalam mencapai aspirasi negara untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.
Beliau berkata menerusi pelbagai inisiatif, NAIO akan membolehkan penciptaan pekerjaan bernilai tinggi, memupuk inovasi dalam sektor utama seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, pertanian dan pembuatan serta memudahcara pembangunan bakat AI yang berkesan.
“Usaha ini penting bagi membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan selain memastkan pertumbuhan yang inklusif serta mampan.
“Ekonomi digital adalah pemacu utama masa depan Malaysia dengan sasaran besar untuk menyumbang sebanyak 23 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2024. NAIO juga berada dalam kedudukan unik untuk melonjakkan matlamat ini dengan penyepaduan AI dalam strategi teras ekonomi digital," katanya.
Pelancaran NAIO juga merangkumi pembentukan enam kerjasama strategik dalam memacu inovasi AI, melonjakkan penerimagunaan industri dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam pembangunan AI.
Rakan strategik itu termasuk Amazon Web Services (AWS), Toshiba, Global AI Village, YTL, Microsoft, serta Google.
Mengulas kerjasama itu, Pengurus Negara AWS bagi Malaysia Pete Murray menyifatkan kerjasama dengan NAIO juga sejajar dengan tiga pendekatan AWS bagi memupuk ekonomi digital Malaysia - pelaburan kewangan, memupuk bakat tempatan dan penyediaan akses eksklusif bagi teknologi transformatif.
Beliau juga melihat NAIO sebagai pencapaian penting dalam membentuk masa depan digital Malaysia, memacu inovasi AI serta memupuk pertumbuhan ekonomi.
"Kami akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan, pelanggan dan pihak berkepentingan kerajaan di Malaysia untuk merealisasikan wawasan NAIO bagi pertumbuhan serta inovasi dipacu oleh AI.
"Bersandarkan rangkaian perkhidmatan AI dan pembelajaran mesin AWS yang paling komprehensif, infrastruktur dan kepakaran awan, kami komited bagi memperkasakan organisasi tempatan, agensi kerajaan serta komuniti untuk memanfaatkan kuasa AI bagi menangani cabaran serta skala tertentu menerusi kaedah yang selamat, berdaya tahan dan mampan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial