GEORGE TOWN, 16 Dis (Bernama) -- Seramai 21 penghuni tinggal sehelai sepinggang selepas tujuh unit rumah teres musnah dalam kebakaran di Ladang Hong Seng, di sini hari ini.
Namun, tiada sesiapa yang cedera atau kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian tersebut.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Rafizi Arafpin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.40 petang sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal terus ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba, pihak bomba mendapati tujuh buah rumah teres, yang setiap satu berkeluasan 37.16 meter persegi, sedang terbakar dan api marak. Kami terus menjalankan kerja pemadaman daripada merebak ke kediaman lain di situ," katanya.
"Kebakaran dapat dikawal dalam masa 20 minit dan dipadam sepenuhnya kira-kira setengah jam kemudian," katanya ketika dihubungi malam ini.
Katanya, seramai 100 pegawai dan anggota bomba dari BBP Bagan Jermal dan BBP Paya Terubong dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Paya Terubong, Sri Tanjong, Balik Pulau, Bukit Bendera, dan Mount Erskine terlibat dalam operasi memadam kebakaran tersebut.
Mohamad Rafizi berkata punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid ketika dihubungi berkata menurut maklumat awal, kebanyakan mangsa tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan barangan termasuk dokumen pengenalan diri.
"Pada masa ini, kami berusaha untuk menentukan bantuan segera termasuk tempat tinggal sementara kepada mangsa. Setakat ini, empat keluarga dipindahkan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Macallum dan sebuah lagi keluarga di Padang Tembak," katanya.
Beliau berkata pihaknya sedang memantau keadaan mangsa yang terlibat dalam kebakaran tersebut untuk memastikan mereka mempunyai rumah sementara untuk tinggal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial