WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MUSA AMAN DILANTIK YANG DIPERTUA NEGERI SABAH BAHARU

17/12/2024 10:15 AM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Bekas Ketua Menteri Sabah Tun Musa Aman dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11 berkuat kuasa 1 Jan 2025.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Musa pada istiadat di Balairung Kecil, Istana Negara, di sini, hari ini. 

Musa, 73, dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah, bagi tempoh empat tahun bermula 1 Jan 2025 hingga 31 Dis 2028.

Pelantikan Musa adalah bagi menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 31 Dis ini, selepas menyandang jawatan itu selama empat penggal bermula 1 Jan 2011. 

Pada istiadat sama, Musa turut dikurniakan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun. 

Istiadat tersebut turut disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor. 

Hadir sama pada istiadat itu ialah Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar. 

Musa, yang merupakan anak jati Beaufort yang terletak  kira-kira 97 km ke selatan Kota Kinabalu, dilahirkan pada 30 Mac 1951. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan daripada Edith Cowan University, Australia.

Beliau mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah Ke-14 pada 27 Mac 2003, menggantikan Tan Sri Chong Kah Kiat dan memegang jawatan itu selama lima penggal sehingga 12 Mei 2018, menjadikannya Ketua Menteri Sabah yang paling lama memegang jawatan tersebut.

Selain berkhidmat sebagai Ketua Menteri, Musa yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga selama enam penggal (1994-2020) juga pernah memegang pelbagai jawatan penting, termasuk Menteri Kewangan Sabah, Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, dan Konsul Kehormat Malaysia di Bangladesh. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan