WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HIASAN RUMAH KREATIF GUNA BAHAN TERBUANG JANA PENDAPATAN LUMAYAN BUAT SURI RUMAH

17/12/2024 01:14 PM

KUALA PILAH, 17 Dis ( Bernama) -- Siapa sangka bermula sekadar suka-suka, hobi menghasilkan perabot dan hiasan rumah daripada bahan terbuang kini mampu memberikan pulangan lumayan kepada seorang suri rumah di Kampung Temaris, di sini.

Norpadila Afandi, 42, berkata dengan sentuhan kreatif, barangan seperti kayu dan tayar terpakai boleh diolah menjadi hiasan rumah yang menarik dan mempunyai peminat tersendiri sehingga tidak menang tangan menerima tempahan.

"Semuanya bermula dengan idea membina rumah sendiri berkonsepkan rumah ladang ala Inggeris tetapi masih mengekalkan identiti Melayu dengan cuba membuat kerusi, meja, almari dan hiasan dinding mengunakan bahan tersendiri.

"Dari situ saya turut menghasilkan dekorasi rumah mengunakan bahan berasaskan kayu yang akan dicari di merata tempat dengan modal yang minimum tetapi masih memiliki nilai seni dan nampak vintaj," katanya kepada Bernama.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata beliau tidak pernah menyangka produk yang dianggap biasa-biasa itu mendapat permintaan tinggi sehingga mampu menjana pendapatan bulanan bagi membantu ekonomi keluarga. 

Norpadila berkata antara hiasan rumah yang banyak ditempah termasuk bekas telur, tempat simpan kunci, pinggan hiasan dan dulang kayu, di samping meja kopi daripada tayar terpakai yang dijual pada harga serendah RM40 hingga RM800.

"Alhamdulillah, saya kini mampu menjana pendapatan bulanan mencecah ribuan ringgit," katanya yang mengambil masa dua hingga lima hari bagi menyiapkan tempahan bergantung pada bentuk dan saiz dengan tempahan turut diterima dari Brunei dan Singapura.

Norpadila yang kini aktif sebagai pencipta kandungan berkata kepakarannya menghasilkan dekorasi rumah yang kreatif dan mampu milik turut mendapat perhatian di laman sosial.

Selain menggunakan bahan terpakai, beliau yang dikenali dengan nama NorpadilaDiyCrafter di aplikasi TikTok turut berkongsi idea dekorasi rumah menggunakan barangan yang dibeli dari kedai serbaneka dengan mengolahkannya menjadi produk luar biasa menerusi sentuhan magisnya.

"Apabila ada pengikut berkongsi gambar tunjuk hasil yang mereka buat mengunakan idea yang diajar, ia sesuatu yang sangat menggembirakan, maknanya saya tidak seronok sendiri, ada orang yang boleh buat dan ikut cara saya sehingga berjaya,” katanya.

Wanita kelahiran Kuala Pilah itu berkata beliau bukanlah peminat barangan mahal dan lebih suka memilih membuat sendiri hiasan rumah dan perabot daripada bahan terbuang sekali gus membantu memelihara alam sekitar.

“Dekorasi rumah yang cantik tidak semestinya memerlukan perbelanjaan besar, malah idea-idea ini sangat praktikal dan mudah diikuti, sesuai untuk sesiapa sahaja yang mahu mencantikkan rumah dengan bajet rendah dan hanya memerlukan sedikit sentuhan unik,” katanya.

Norpadila berkata beliau mahu memberikan inspirasi kepada golongan muda dalam bidang berkenaan sekali gus membuktikan kreativiti tidak memerlukan kos yang tinggi dan sesiapa sahaja boleh menghasilkan dekorasi sendiri.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan