WILAYAH - SARAWAK > BERITA

6,547 PERMOHONAN PROGRAM SEJATI MADANI DILULUSKAN - DR ZALIHA 

17/12/2024 02:53 PM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Sebanyak 6,547 daripada 8,923 permohonan yang diteliti dan dipertimbangkan di bawah Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) telah diluluskan membabitkan peruntukan sebanyak RM590 juta, setakat 12 Dis lepas.

 Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata bagi tempoh sama, secara keseluruhannya sebanyak 16,884 permohonan telah diterima bagi SejaTi MADANI.

"Sarawak mencatatkan jumlah peruntukan tertinggi, iaitu RM100 juta dengan 1,124 permohonan diluluskan, diikuti Johor dengan nilai geran sebanyak RM69.58 juta untuk 742 permohonan.

"Negeri-negeri lain seperti Perak, Terengganu dan Kelantan turut menerima peruntukan signifikan dalam usaha pembangunan komuniti dan kesejahteraan rakyat," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, di sini hari ini.  

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Manolan Mohamad yang ingin jumlah permohonan SejaTi MADANI melalui Dana Komuniti MADANI mengikut negeri yang sedang diproses dan diluluskan.

Dr Zaliha berkata bagi masyarakat Orang Asli pula, daripada 111 permohonan yang diterima, sebanyak 52 permohonan mematuhi syarat telah diluluskan melibatkan peruntukan berjumlah RM5.2 juta.

"Berdasarkan pecahan permohonan, Perak mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 28 permohonan dengan peruntukan sebanyak RM2.8 juta diikuti Johor dengan 11 permohonan bernilai RM1.1 juta dan Pahang dengan tujuh permohonan bernilai RM700,000.

"Saya memohon supaya semua Yang Berhormat Senator mengambil maklum dan menyampaikan kepada komuniti masing-masing bahawa permohonan dana SejaTi MADANI adalah percuma dan terbuka kepada komuniti yang layak. 

"Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) tidak mengenakan sebarang caj atau fi bagi permohonan terbabit dan tidak melantik mana-mana ejen untuk pelaksanaan program itu," katanya.

Beliau berkata Program SejaTi MADANI akan diteruskan pada tahun hadapan dengan jenama Ikhtiar Sejati MADANI seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2025.

SejaTi MADANI ialah inisiatif baharu Kerajaan Perpaduan bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi pada peringkat komuniti bagi meningkatkan pendapatan dengan pemberian dana antara RM50,000 hingga RM100,000 kepada komuniti yang layak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan