WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KKDW Pantau Kecukupan Infrastruktur Asas Luar Bandar

18/12/2024 03:16 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Kerajaan sentiasa memantau kecukupan infrastruktur asas dan kemudahan sosial di luar bandar dengan menggunakan input daripada sistem pemantauan projek dalaman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta MyProject yang dikendalikan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata data-data tersebut dijadikan sebagai panduan utama dalam mengukur tahap keberkesanan program dan projek yang dilaksanakan di luar bandar.

“KKDW juga menggunakan data-data yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia seperti laporan survei kemudahan asas, My Local Stats, serta Sistem Ciri-Ciri Spatial Desa Malaysia (S-CHARMS),” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Wira Koh Nai Kwong yang ingin mengetahui mengenai trend migrasi penduduk dari desa ke bandar serta penilaian kecukupan infrastruktur asas dan kemudahan sosial di luar bandar.

Dalam pada itu, Rubiah berkata Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 (DPLB 2030) turut menjadi panduan dalam melaksanakan pembangunan luar bandar melalui pendekatan yang lebih holistik merangkumi peningkatan infrastruktur, pengembangan ekonomi, pendidikan, kesihatan dan pemberdayaan komuniti.

“Setiap tahun KKDW akan mengadakan bengkel bagi memberi fokus dalam merangka perancangan setiap tahun. 

“Jika tahun depan, kita sudah bermula pada Januari kerana walaupun bajet telah diluluskan, fokus-fokus tertentu perlu diambil kira agar setiap projek yang dijalankan memberi impak yang lebih besar kepada masyarakat luar bandar," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan