WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pembaharuan Dalam RMK13 Pastikan Projek Lambat, Sakit Dikurangkan - Rafizi

19/12/2024 06:57 PM

KOTA KINABALU, 19 Dis (Bernama) -- Beberapa pembaharuan akan diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memastikan pelaksanaan projek dalam rancangan itu berjalan lancar dan projek sakit atau lambat disiapkan, dapat dikurangkan.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata pihaknya akan memperkenalkan pembaharuan di peringkat perancangan dan saringan menambah baik proses sedia ada bagi mengurangkan masalah dalam projek terlibat.

Beliau berkata sebahagian projek sakit berpunca daripada masalah tanah belum diselesaikan ketika permohonan untuk kelulusan projek dan peruntukan dilakukan.

“Nak buat sekolah contohnya tanah tiada lagi, tetapi projek diluluskan. Bila projek mula berjalan tanah tidak sesuai, lepas bertahun tanah tak jumpa itu jadi projek sakit. Bila sampai satu ketika pelaksanaan projek itu peratusan rendah berbanding dijadualkan, ia dikategorikan projek sakit.

“Jadi sebab itu kita dah mula projek rintis dua tahun lepas untuk projek tertentu, kita bagi belanja untuk mereka lakukan kerja awalan dahulu dan mereka kena uruskan tanah selesai kemudian baru mohon balik kelulusan dapatkan peruntukan fasa seterusnya,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus RMK13 bersama kerajaan Sabah di sini yang dihadiri Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Rafizi berkata antara pembaharuan lain adalah membabitkan syarat perlu menyemak dengan bank tanah di peringkat kerajaan Persekutuan atau negeri bagi projek yang ingin dilaksanakan.

“Sedangkan tanah, sama ada di bawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan itu atau kerajaan negeri dah ada pun (untuk projek), tetapi tidak dirujuk pun. Kita akan perkemas proses di peringkat perancangan.

“Sudah tentu kita kena pastikan koordinasi yang baik berlaku antara agensi Persekutuan, negeri dan sebagainya. Apa yang penting kerajaan Persekutuan dan negeri telah memberi fokus memastikan pelaksanaan projek terlibat dilaksanakan dengan lancar serta cepat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan